fbpx

Premis guna e-dagang jual katrij pencetak tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penguat kuasa KPDN Perak memeriksa katrij pencetak tiruan di sebuah premis perniagaan di Jalan Pasir Puteh, Ipoh semalam. Foto KPDN PERAK.

IPOH – Sebanyak 493 katrij pencetak tiruan disita dalam satu serbuan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di sebuah premis perniagaan di Jalan Pasir Puteh di sini kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai dan penguat kuasanya itu turut disertai oleh wakil pemilik cap dagangan produk berkenaan.

Menurut beliau, serbuan dilakukan berikutan aduan oleh wakil pemilik cap dagangan berhubung penjualan katrij pencetak berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis tersebut.

“Hasil maklumat siasatan, katrij pencetak ini dipasarkan dan dijual melalui platform e-dagang. Pasukan serbuan menyita katrij pencetak berjenama yang disyaki menggunakan cap dagang palsu sebanyak 493 unit dan pelbagai dokumen.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM4,667. Seorang lelaki warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab sebagai pengurus syarikat ditahan untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Kamalludin berkata, wakil pemilik cap dagang melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Beliau menjelaskan, kesalahan tersebut adalah kerana mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan dengan salah di bawah seksyen 100 iaitu kesalahan yang disyaki telah dilakukan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

“Sekiranya disabit dengan kesalahan, jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu

“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM30,000 bagi setiap barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar,” katanya.

Menurut Kamalludin, jika orang itu ialah bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM20,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar, atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI