SHAH ALAM – Seorang tokan dadah dan 20 penagih diberkas polis yang menggempur kawasan belukar serta rumah kosong di dua daerah, baru-baru ini.
Ops Sarang itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor di sekitar Kajang dan Klang bermula 2 hingga 8 September lalu berjaya menahan seramai 21 lelaki melibatkan 16 tempatan dan lima Bangladesh berusia lingkungan 20 hingga 60-an.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi khas itu hasil risikan dan maklumat mengenai aktiviti pengedaran serta penagihan di daerah tersebut.
“Siasatan mendapati seorang daripada suspek dipercayai berperanan sebagai tokan. Polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 53.82 gram, syabu (10.78 gram), ganja (2.65 gram) dan lima biji pil yaba,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Hussien, penagih terlibat melepaskan gian di kawasan semak, belukar, tangga atau rumah kosong dan hasil ujian saringan air kencing mereka didapati positif dadah. – KOSMO! ONLINE