PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran (Waspada) hujan berterusan di empat negeri berkuat kuasa mulai 15 hingga 19 September 2024.
Menerusi hantarannya di aplikasi Facebook, empat negeri tersebut melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
“Kami juga menjangkakan angin kencang dan laut bergelora bagi Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara mulai hari ini sehingga 18 September nanti,” tambahnya.
Orang ramai yang menetap di empat negeri terbabit dinasihati untuk berhati-hati dengan keadaan hujan yang berterusan yang boleh menyebabkan banjir.
Sementara itu, MetMalaysia turut menjangkakan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di sembilan negeri sehingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia memaklumkan, sembilan negeri tersebut adalah Perak (Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta), Terengganu (Besut, Setiu, Dungun dan Kemaman), Pahang (Bentong dan Temerloh), Selangor (Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu) dan Johor (Mersing).
“Keadaan ini turut melibatkan Sabah di kawasan Pantai Barat (Tuaran, Ranau dan Kota Belud), Tawau (Tawau), Sandakan (Tongod) dan Kudat (Kota Marudu) dan Sarawak di kawasan Miri (Subis, Beluru dan Miri),” katanya.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE