fbpx

Pemberi dana 20 rumah amal Op Global disiasat AMLA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin ketika bercakap pada sidang akhbar yang diadakan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bukit Aman sedang menyiasat dana yang disumbangkan kepada 20 pusat jagaan yang diserbu dipercayai mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat terkemuka menerusi Op Global, kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menggerakkan pasukan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman menyiasat perkara itu.

Jelas beliau, dana yang disiasat adalah berkaitan rumah amal tersebut dan lain-lain perniagaan jika ada keperluan selain kes pemerdagangan orang.

“Kami percaya pusat jagaan itu mempunyai penaja lain, selain syarikat tersebut.

“Ada juga rumah orang tua yang menerima dana daripada syarikat itu dan sumber lain juga,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.

Sementara itu, Razarudin menafikan bahawa dakwaan pihak polis tidak membenarkan kanak-kanak yang diselamatkan solat.

“Mereka dibenarkan berbuat demikian. Mereka bergilir-gilir (bersolat) di bawah pengawasan polis untuk keselamatan mereka.

“Mengarut kalau kita katakan kita tidak benarkan mereka solat. Malah mereka ditempatkan di sini (Pulapol), yang mempunyai masjid,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa polis lambat mengambil tindakan terhadap laporan polis yang dibuat terhadap syarikat terkemuka terbabit, Razarudin berkata siasatan telah dijalankan sejak 2011.

“Kami membuat tangkapan selepas menerima petunjuk yang boleh dipercayai yang membolehkan tindakan sedemikian dilakukan,” katanya.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan sebanyak 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi gerakan Op Global.

Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap sebuah syarikat terkemuka yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, ia susulan empat laporan yang diterima pihaknya di sekitar Selangor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI