SEBERANG PERAI – Pulau Pinang menawarkan ganjaran dalam bentuk wang tunai buat atlet yang berjaya memenangi pingat sempena Para Sukan Malaysia (Para Sukma XXI) Sarawak 2024 yang bakal berlangsung dari 20 hingga 29 September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen berkata, imbuhan yang dijanjikan menerusi Skim Insentif Kecemerlangan Sukan (Skimas) itu akan diberikan sama rata buat atlet yang beraksi cemerlang di temasya terbabit nanti.
“Seperti atlet biasa, mereka juga akan memperoleh insentif sama pengikut jenis pingat yang dimenangi.
“Kita akan beri tanpa diskriminasi buat mana-mana atlet para yang berjaya mengharumkan nama negeri dan dalam bidang sukan masing-masing.
“Jumlah ganjaran akan diputuskan tidak lama lagi,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menyempurnakan upacara penyerahan bendera Pulau Pinang kepada atlet badminton, Muhammad Amin Azmi sebagai simbolik perasmian Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Pulau Pinang ke Temasya Para Sukma XXI Sarawak 2024 di Kepala Batas, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Daniel berkata, pihaknya akan mengetengahkan cadangan pemberian elaun kepada jurulatih atlet para yang selama ini secara sukarela berbakti tanpa sebarang bayaran.
“Pengorbanan masa, tenaga dan kekangan peruntukan tidak menjadi penghalang buat jurulatih mencurahkan tenaga demi membimbing atlet sekali gus menyerlahkan kekuatan masing-masing.
“Buat masa ini, kita sedang mengenalpasti jurulatih yang terlibat saya akan umumkannya selepas memperolehi keputusan menerusi mesyuarat bersama Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri menyasarkan 16 pingat emas dalam temasya kali ini malah optimis sasaran itu dapat dicapai susulan semangat juang kontinjen yang sangat tinggi.
“Selain itu, kita turut berharap dapat memperbaiki kedudukan keseluruhan pada temasya kali ini,” katanya.
Untuk rekod, delegasi kontinjen Para Pulau Pinang kali ini disertai seramai 83 atlet yang akan bersaing dalam 113 acara dan diiringi oleh 49 pegawai. -KOSMO! ONLINE.