fbpx

Menara buah pomelo terukir nama di MBOR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menara buah pomelo atau limau bali antara tarikan sempena MAHA 2024 di MAEPS, Serdang. - Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

SERDANG – Menara buah pomelo setinggi 4.23 meter yang menjadi antara daya tarikan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 diberi pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records (MBOR).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, menara buah itu dibina menggunakan 7,000 biji buah pomelo atau limau bali dan 100 biji buah nangka.

“Antara tujuan kita mewujudkan atau mengusahakan menara ini adalah untuk mempromosikan buah pomelo yang terdapat di dalam negara kita. Malaysia mempunyai banyak buah tersebut dari Tenom (Sabah), Sarawak dan Tambun (Perak).

“Ini supaya pasaran domestik dan antarabangsa lebih mengenali bahawa Malaysia mempunyai buah pomelo yang sangat sedap,” katanya kepada pemberita selepas menerima pengiktirafan daripada MBOR.

Terdahulu, Arthur Joseph menerima bingkai pengiktirafan menara buah pomelo daripada pegawai MBOR, Siti Nurhanim Mohd. Nor di Kingdom of Agrofood di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini hari ini.

Sementara itu, beliau yakin MAHA 2024 akan berjaya mencapai sasarannya iaitu meraih tiga juta pengunjung sehingga 22 September ini, ditambah lagi dengan cuti sekolah akan menggalakkan kehadiran pengunjung ke sini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI