PETALING JAYA – Pelakon Wanna Ali dikecam netizen selepas memuat naik foto bersama Fattah Amin dalam akaun Instagram.
Wanna atau nama sebenarnya Nur Syazwana Mohd Ali, 26, memuat naik gambar di set penggambaran drama Lelaki Melayu Terakhir bagi mempromosikan drama berkenaan selepas beberapa jam Fazura memfailkan penceraian terhadap Fattah.
Sehubungan itu, netizen mendakwa Wanna seolah-olah tidak sensitif dengan situasi semasa Fattah dan Fazura.
“Lebih baik padam hantaran ini. Sungguh tidak sensitif. Sekarang bukan masa yang sesuai,” komen salah seorang netizen.
Namun ada juga netizen yang minta untuk tidak menyalahkan Wanna kerana dia mungkin tidak tahu situasi yang sedang dihadapi hero gandingannya.
“Jangan salahkan Wanna. Dia tak terlibat urusan rumah tangga pelakon gandingannya. Mungkin dia tidak tahu pun. Dia hanya kongsi mengenai drama lakonan mereka berdua. Mungkin secara kebetulan,” komen netizen.
Ketika ini drama Lelaki Melayu Terakhir yang menggandingkan Wanna dan Fattah hangat ditayangkan di slot Samarinda TV3 setiap Isnin hingga Khamis pukul 10 malam.
Terdahulu, pagi tadi Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, telah memfailkan penceraian terhadap suaminya Fattah Amin, 34, di Mahkamah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Perkara itu disahkan oleh pengurus Fazura yang dikenali sebagai Iman Tang sewaktu dihubungi Kosmo! Online.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Nur Fatima Aisya, 4. – KOSMO!ONLINE