fbpx

Kondo mewah jadi lubuk dadah RM5.88 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Khaw Kok Chin, Menunjukkan antara dadah yang berjaya dirampas di dalam kes kejayaan membongkarkan stor pelbagai jenis dadah semasa di sidang akhbar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini. Gambar ILHAM ZAKARIA/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Taktik licik tiga sindiket bergiat aktif sejak awal tahun ini terbongkar apabila penahanan kesemua suspek membawa kepada penemuan dadah bernilai RM5.88 juta dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang 11 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, modus operandi sindiket yang menggunakan kondominium mewah dengan sewaan Rm2,000 sebulan di ibu negara sebagai stor berjaya dikesan pasukannya ketika serbuan kira-kira pukul 4.50 petang.

“Dalam serbuan pertama, JSJN menahan suspek pertama, B1, warga tempatan di dalam sebuah kereta Proton Saga di tempat letak kenderaan kondominium Awana Puri, di sini.

“Suspek berusia 30 tahun itu berperanan sebagai penjaga stor. Hasil pemeriksaan dalam bag sandangnya, kita menjumpai dadah jenis methamphetamine seberat 0.182 kilogram (kg),” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, dengan dipandu arah oleh B1, pihaknya menahan suspek B2, berusia 33 tahun berperanan sebagai penghantar atau ‘runner’ ketika serbuan di sebuah kediaman di kondominium berkenaan.

“Kita menjumpai barangan salah seperti methamphetamine (111.23 kg); kanabis (29.06 kg); pil ekstasi (7.51 kg) dan kristal MDMA (6.07 kg).

“Pada pukul 5 petang kita melakukan serbuan di sebuah restoran Taman Mutiara, di sini, seterusnya menahan suspek B3, 30, berperanan sebagai penghantar.

“Dadah yang dirampas bernilai RM5.88 juta ini boleh digunakan seramai 660,500 penagih,” jelasnya.

Katanya, tindakan diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita pelbagai aset bernilai RM55,750.00 terdiri daripada wang tunai RM750, dua buah kereta Nissan Almera dan Proton Saga.

Kondominium mewah disewa oleh suspek B1 sejak enam bulan lalu dan kesemua suspek mendapat gaji bermula RM3,000 hingga RM5,000 sebulan.

“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 18 September ini.

“Kesemua suspek negatif dadah manakala masing-masing mempunyai beberapa rekod dadah dan jenayah.

“Kita juga melakukan siasatan dalam pelbagai suspek termasuk mempercayai suspek mungkin terlibat dalam kongsi gelap,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI