fbpx

‘Kenangan terakhir mummy siapkan Al Fateh, berjalan sama pergi taska’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar kenangan Allahyarham Muhammad Al Fateh bersama ibu bapanya.

PETALING JAYA – “Alhamdulilah masih segar lagi dalam ingatan mummy (ibu),” itulah luahan yang dikongsikan Sabrina Hakiem Zaini, 39, ketika mengimbau semula kenangan akhir bersama arwah anaknya, Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri, lapan bulan sebelum disahkan meninggal dunia pada 6 September lalu.

Sabrina berkongsi kronologi yang berlaku sepanjang hari Jumaat tersebut bermula daripada dia menyiapkan cahaya sulungnya itu sehinggalah mereka sekeluarga perlu reda apabila anak syurganya pergi menghadap Ilahi.

“Pada pukul 7.10 pagi, atuk (datuk) dukung Al Fateh, mummy bawa beg susu dan ‘cooler bag’ berisi makanan Al Fateh. Sarapan ‘blueberry oat’, makan tengah hari kari hijau kentang dan kudapan (epal, per, ‘muscat’).

“Semua makanan kegemaran Al Fateh mummy buat sendiri. Kami jalan kaki ke taska sebab dah empat hari naik kereta. Mummy cakap hari ini nak jalan kaki lah,” kata wanita itu.

Pengalaman manis itu dikongsikan menerusi hantaran di Facebook bapa Muhammad Al Fateh iaitu Mejar Ir Ts Mohd. Fikry Amri Abd Halim, 39, hari ini.

Dalam hantaran sama, wanita itu turut bercerita semula detik hitam hidupnya apabila sekitar pukul 9.03 pagi, dia menerima panggilan daripada cikgu di taska memaklumkan Muhammad Al Fateh sudah tidak bermaya.

“Pukul 9.10 pagi, mummy sampai taska, mummy tengok anak mummy dah terkulai, pucat lesi, dah tak biru pun, darah mengalir dari hidung. Cikgu serahkan Al Fateh pada atuk dan minta mummy segera ke klinik.

“Mummy pandu terus pergi kecemasan Hospital Alor Gajah. Pukul 9.15 pagi sampai kecemasan ada jururawat lelaki ambil Al Fateh dulu. Selepas mummy parkir kereta, mummy hubungi daddy minta balik sekarang,” katanya.

Selang 15 minit kemudian, doktor memaklumkan kepada wanita itu bahawa denyutan jantung anaknya sudah tiada dan bertanya mengenai keadaan yang berlaku.

“Masa itu ada pakar pediatrik dari Hospital Melaka dia tanya apa berlaku dan ketika itu salah seorang cikgu Al Fateh sampai hospital dan maklumkan Al Fateh minum susu, tidur dan masa tidur Al Fateh biru, cikgu buat CPR (resusitasi kardiopulmonari).

“Pukul 9.45 pagi doktor panggil mummy minta bacakan syahadah dekat telinga Al Fateh. Mummy pegang dahi Fateh memang sejuk sangat, putih pucat tak bergerak. Mummy cakap “anak mummy, anak mummy tunggu mummy kat syurga ye” . Doktor cakap nak buat lagi CPR terakhir,” kongsinya.

Bercerita lanjut, Sabrina berkata, tepat pukul 10 pagi, anak syurganya itu disahkan meninggal dunia dan pihak hospital memaklumkan kes tersebut perlu dirujuk kepada polis.

“Dalam pukul 10 lebih daddy sampai. Kali terakhir daddy jumpa Fateh pada 2 September. Fateh dah dibalut kemas tapi mummy dah suruh staf buka muka Fateh sebab tahu daddy nanti mesti nak tengok Fateh dahulu,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Muhammad Al Fateh meninggal dunia selepas pengasuhnya didakwa membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menekup muka bayi berkenaan dengan bantal di sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) di Taman Klemak Utama.

Tindakan pengasuh wanita berusia 34 tahun itu dilihat menerusi rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) sebelum polis menahan reman pengasuh berkenaan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Hari ini, tertuduh Nor Afifah Abdullah Shuhaimi, 34, menangis teresak-esak selepas didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka.

Tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI