JAGUH muay thai berusia 19 tahun dari England, Freddie Haggerty bersedia untuk berdepan petinju negara, Johan Ghazali Zulfikar dan menuntut satu perlawanan diatur menjelang pertarungan seterusnya di pentas ONE Championship.
Haggerty kini dalam momentum terbaik dan mula menarik perhatian dalam arena ONE Championship setelah menewaskan dua lawan dari Thailand, Dankalong Sor Dechapan pada Januari dan juga Kaichon Sor Yingcharoenkarnchang (Julai).
Bagi Haggerty, dia tidak mempunyai masalah dan bersedia untuk berdepan jaguh berusia 17 tahun dari Malaysia tersebut pada bila-bila masa sahaja.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Johan, ia adalah satu pertarungan hebat dan prestasi yang mantap.
“Saya sudah bersedia bila-bila masa sahaja apabila Johan bersedia. Dia datang kepada saya semalam dan mengatakan dia mahu perkara (pertarungan) ini menjadi realiti,” kata Haggerty.
Dalam pada itu, Johan yang menumbangkan Josue Cruz menerusi keputusan knockout (KO) di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini menyambut tawaran tersebut dengan tangan terbuka untuk berdepan Haggerty.
“Freddie (Haggerty) telah menunjukkan minat di media sosial dan ramai orang mahu menyaksikannya, jadi mari kita teruskan,” kata Johan yang turut mesra disapa Jojo.
Pertembungan antara dua bintang muda muay thai muda itu dijangka menjadi satu pertarungan yang sengit memandangkan kedua-duanya kini berada di puncak prestasi.
Peminat tempatan dan antarabangsa kini menanti pengumuman rasmi daripada pihak ONE Championship sambil mengharapkan pertarungan epik yang dinanti-nantikan itu menjadi kenyataan dalam masa terdekat.