KLANG – Isu tanah hak milik ibu pelakon Amar Baharin kini dikatakan dalam peringkat akhir dan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Datuk Dr. Yusri Zakariah berkata, pihaknya kini dalam proses mengangkat kertas kerja pemberian hak milik tersebut kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
“Kita sudah panggil untuk pendengaran sebab isu pasal tanah tersebut bukan sahaja berkaitan ibu Amar Baharin malah ada beberapa pemilik lain.
“Ada enam hingga tujuh tanah terlibat. Semua pihak (pemilik tanah) sudah setuju dan cuma sekarang proses dalam memberikan hak milik tanah ikut lokasi yang telah dikenalpasti.
“Kita juga dalam proses angkat ‘paper’ kepada MMKN bagi tujuan pemberian pemilikan tanah yang terlibat termasuk kepada ibu Amar Baharin,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
April lalu, Amar berkongsi di media sosial berhubung tanah milik ibunya yang mempunyai dua geran berbeza seterusnya menuntut jawapan daripada beberapa pihak berkaitan berhubung perkara itu.
Yusri memaklumkan isu pertindihan dan pemilikan tanah tersebut berpunca dari segi teknikal yang sebelum ini dibuat secara manual menerusi lukisan pelan melalui tangan.
Justeru, kata beliau, kerja-kerjanya berkaitannya kini dilakukan menggunakan sistem e-tanah sejak November tahun lalu.
“Ini termasuk dalam kes ibu Amar Baharin. Sebab itu tanah hak milik lain dan tanah diduduki tempat lain. Jadi, kita betulkan.
“Melalui sistem e-tanah ini, pertindihan akan dapat diminimakan atau tidak lagi wujud pertindihan sebab sebelum semua maklumat dimasukkan dalam sistem, kita sudah periksa. Kalau ada tanah bertindih, kita buat penyelesaian (terus sebelum masuk sistem),” katanya. – KOSMO! ONLINE