fbpx

GISBH bukan bidang kuasa Jakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Ajib - Foto FACEBOOK PKPU.

PETALING JAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan agensi itu tidak berperanan dalam penguatkuasaan undang-undang untuk mengambil tindakan ke atas GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Presiden Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jakim, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, Jakim merupakan sebuah agensi agama persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang bertindak menyelaras pengurusan hal ehwal Islam dengan mandat daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Katanya, kenyataan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin melalui media sosial mengenai peranan Jakim dalam isu GISBH menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan orang ramai mengenai peranan serta fungsi jabatan itu.

Tambahnya, PKPU perlu memberikan penjelasan dan mempertahankan fakta yang dinyatakan ekoran pandangan yang diberikan tidak tepat serta tidak mewakili peranan sebenar Jakim.

Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan bekas Ketua Pejuang Muda Malaysia, Abu Hafiz yang meminta pengurusan Jakim dirombak semula kerana didakwa lewat mengambil tindakan terhadap GISBH.

Mengulas lanjut, Mohd Ajib berkata, Jakim akan sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan segala tindakan yang diambil berlandaskan undang-undang.

“PKPU ingin menekankan, dalam konteks isu berkaitan hal ehwal agama Islam, setiap tindakan perlu diambil dengan mematuhi prosedur tertentu, khususnya apabila membabitkan bidang kuasa negeri-negeri.

“Justeru, Jakim sentiasa mendapatkan nasihat perundangan dan bekerjasama dengan PDRM serta pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan sebarang tindakan diambil adalah selari dengan peruntukan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI