fbpx

F1: Hamilton minat beli pasukan MotoGP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAMILTON dilapor menyatakan minat untuk membeli pasukan yang bersaing dalam perlumbaan MotoGP. - AFP

LONDON – Ketua Eksekutif Liberty Media, Greg Maffei mendedahkan bahawa juara dunia Formula Satu (F1), Lewis Hamilton berminat untuk membeli pasukan dalam perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).

Pada April lalu, pemilik F1, Liberty Media mengumumkan bahawa mereka telah bersetuju membeli 86 peratus saham dari syarikat pengendali perlumbaan motosikal terkemuka dunia itu, Dorna Sport dengan perjanjian bernilai AS$4.2 bilion (RM18.17 bilion)

Pada bulan Ogos, Liberty mengesahkan bahawa pihaknya telah menjual AS$825 juta (RM3.57 bilion) saham dalam F1 untuk membiayai pembelian pegangan dalam saingan MotoGP.

Perancangan strategik yang dilakukan Liberty Media telah menarik beberapa pihak termasuk Lewis Hamilton terutama perancangan mereka untuk merevolusikan sukan dua roda tersebut dengan cara yang sama ketika mereka lakukan terhadap perlumbaan F1 sejak mengambil alih pada tahun 2016.

“Kami mengumumkan pengambilalihan MotoGP dan selepas itu ada pihak yang menghubungi kami untuk membeli pasukan sedia ada termasuk Lewis Hamilton.

“Mereka melihat kepada kejayaan yang berlaku di perlumbaan Formula 1 dan mereka mahu bersama-sama mengikuti langkah ini dalam perlumbaan MotoGP,” kata Maffei.

Liberty Media telah berjaya mencetuskan kebangkitan Formula 1, terutama di Amerika Syarikat melibatkan perlumbaan di Grand Prix Miami dan Las Vegas sekali gus meningkatkan minat serta pendapatan dalam sukan ini.

Kini, Liberty merancang untuk melakukan perkara yang sama terhadap MotoGP termasuk kemungkinan menambah satu lagi perlumbaan di Amerika Syarikat selain dari Grand Prix Austin.

Maffei percaya bahawa peluang besar ini boleh membantu meningkatkan populariti dan pendapatan MotoGP, sambil menjadikan sukan itu lebih menarik di peringkat global, sama seperti yang telah mereka lakukan untuk Formula 1. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI