LONDON – Legenda Manchester United, Cristiano Ronaldo terus menghangatkan perseteruannya dengan bekas pengurusnya, Erik Ten Hag dengan pendedahan terbaharu mengenai sikap pengendali dari Belanda itu.
Dalam satu temu bualnya bersama bekas rakan sepasukan, Rio Ferdinand, Ronaldo menyelar sikap yang dipamerkan Ten Hag dan menganggap beliau bukanlah individu yang tepat untuk mengembalikan kegemilangan United.
“Manchester perlu membina semula pasukan itu. Pengurus tidak sepatutnya memberitahu pemain bahawa mereka tidak mampu untuk memenangi Liga Perdana Inggeris atau Liga Juara-Juara.
“Apa yang perlu anda beritahu adalah mungkin kita tidak mempunyai potensi untuk memenanginya, tapi kita perlu mencubanya,” katanya.
Sejak mengambil alih tugas di Old Trafford, Ten Hag membawa United menamatkan musim pertama di kedudukan ketiga, namun mempamerkan aksi teruk musim lalu sehingga menamatkan saingan di kedudukan kelapan dan terburuk dalam sejarah EPL pasukan itu.
Bagaimanapun, jawatan Ten Hag selamat apabila pemilik bersama United, Kumpulan INEOS yang diketuai Sir Jim Ratcliffe mengenang jasa pengurus itu yang membantu pasukan meraih trofi Piala Liga Inggeris dan Piala FA dalam tempoh dua musim berkenaan.
Ronaldo percaya bahawa Ten Hag memerlukan individu yang benar-benar memahami mengenai United untuk membina semula pasukan itu dan percaya pembantu pengurus, Ruud Van Nistelrooy yang baru dilantik mampu membantunya.
“Beliau mungkin boleh jika menerima pendapat Ruud. Saya fikir Ruud mampu kerana dia mengenai selok belok kelab ini dan kelab juga perlu mendengar pandangan mereka yang berpengalaman.
“Anda tidak boleh membina pasukan tanpa pengetahuan. United sebelum ini memiliki 99 peratus orang yang memahami mengenai bola sepak. Mereka tahu cara berurusan dengan pemain,” jelasnya. – AGENSI