fbpx

Dapat kumpul RM40,000, ‘Abang Bas’ keluar penjara Ahad ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keluarga lancar tabung derma untuk bantu bayar ikat jamin Abang Bas.

MUAR – ‘Abang Bas’ yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak dan membuat hantaran jelik akan dijamin keluarganya Ahad ini.

Peguamnya, Umar Zulkarnain berkata, keluarga tertuduh berjaya mengumpulkan dana bagi membayar jumlah jaminan keseluruhan sebanyak RM40,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Muar dan Mahkamah Sesyen Batu Pahat.

“Alhamdulillah wang tabung telah mencukupi dan kita akan melakukan proses jaminan pada Ahad kerana hari ini dan esok bukanlah hari bekerja di Johor.

“Bayaran jaminan sebanyak RM40,000 akan dibuat oleh ahli keluarganya,” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo!.

Hari ini Kosmo! melaporkan kakak tertuduh menerusi akaun Facebook menggunakan nama Zarinah Sari membuat hantaran memaklumkan kutipan dana untuk adiknya itu telah mencukupi.

“Kutipan dana untuk membantu Abang Bas ditutup. Terima kasih netizen 1 Malaysia, Sabah, Sarawak, Singapura, Indonesia dan Myanmar yang sudi menyumbang dan bantu Abang Bas,” tulisnya.

Rabu lalu, Zarinah melancarkan kutipan derma bagi mengumpul dana untuk membayar wang jaminan adiknya itu sebanyak RM30,000 seperti yang ditetapkan oleh mahkamah.

Dalam pada itu, Zarina turut meminta maaf selain meminta orang ramai terus berdoa supaya ‘Abang Bas’ dibebaskan pertuduhan dan hidup seperti biasa.

Terdahulu, pemandu bas berusia 24 tahun itu didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal masing-masing terhadap anak saudaranya berusia empat tahun serta seorang kanak-kanak perempuan sembilan tahun di Mahkamah Sesyen Muar pada 10 September lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 dan 15 akta sama.

Semalam pula dia didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat atas pertuduhan membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dan didakwa mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Mahkamah Sesyen Muar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000, manakala Mahkamah Sesyen Batu Pahat menetapkan jaminan sebanyak RM10,000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI