fbpx

Damok mencari kemenangan di Sepang esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELUMBA negara, Syarifuddin Azman tekad mencari kemenangan pertama dalam perlumbaan ARRC musim ini.

BEKAS pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman bertekad mencari penamat terbaik pada perlumbaan Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) esok selepas menampilkan aksi cukup baik pada sesi latihan bebas sebentar tadi.

Biarpun baru pulih dari masalah kesihatan akibat jangkitan influenza pada minggu lalu, Syarifuddin atau mesra dengan panggilan Damok berjaya menamatkan sesi latihan di kedudukan keelima terpantas sekali gus cukup yakin dia mampu memecut lebih laju ketika beraksi di laman sendiri esok.

Tegas Damok, perebutan gelaran AP250 masih terbuka apabila dia kini hanya dipisahkan 36 mata di belakang pelumba Indonesia, Kiandra Ramadhipa dari Astra Honda Racing Team yang mendahului carta teratas perlumbaan ketika ini.

Damok yang membuat penampilan bersama pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing Team tersebut kini berada di tangga kelima keseluruhan selepas mengumpul 76 mata dalam kelas AP250cc.

“Sasaran saya adalah untuk mencari kemenangan di laman sendiri tetapi saya perlu berhati-hati dengan dua pelumba Astra Honda selepas mereka cukup laju hari ini. Apapun, saya akan buat yang terbaik dan mencari ruang untuk mencari penamat kemenangan di laman sendiri,” kata  Damok.

Sementara itu, bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah juga berpeluang untuk memimpin carta kedudukan teratas Asian Superbike 1000cc (ASB1000) tetapi dengan syarat dia perlu memenangi perlumbaan esok.

Hafizh yang bersaing bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team kini hanya dipisahkan enam mata dengan pelumba Honda Asia-Dream Racing Astemo, Andi Farid Izdihar dari Indonesia yang memimpin carta teratas saingan ASB1000.

“Menjelang perlumbaan hujung minggu ini, saya akan memberikan segala-galanya yang saya ada kerana ketika ini saya hanya dipisahkan enam mata dengan Andi.

“Ya, saya mengharapkan (memenangi perlumbaan) dan sasaran saya adalah di hadapan Andi kerana pertarungan antara saya dan dia sentiasa kompetitif sejak awal musim lagi.

“Ini adalah perlumbaan saya di laman sendiri dan saya mengenali litar ini dengan baik. Jadi, saya akan buat terbaik untuk berjuang menjadi salah seorang pencabar gelaran,” kata Hafizh yang kini ditangga kedua keseluruhan dengan mengumpul 110 mata. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI