PETALING JAYA – Seorang penghantar makanan, Mohamad Iman, 26, sanggup mengambil risiko bagi menyelamatkan seorang lelaki warga Myanmar yang cuba membunuh diri dari Jambatan Medan Gopeng dekat Ipoh, Perak semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, lelaki lingkungan usia 40-an terbabit dikatakan nekad berdiri di atas tiang jambatan dengan tidak memakai baju selain menutup sebahagian wajahnya menggunakan kemeja-T.
Bagaimanapun, perbuatannya disedari oleh orang awan sebelum beberapa anggota polis hadir ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Waktu kejadian saya belum sampai lgi . Ketika itu saya sedang menuju ke pekan Ipoh. Kawan saya dah smpai dahulu di tempat kejadian bersama polis. Kemudian pihak polis cuba memujuk mangsa terlebih dahulu, namun gagal.
“Bila saya sampai, saya mohon izin daripada pihak polis untuk membantu sekali, saya juga cuba pujuk dan dalam masa sama, mencari peluang untuk tarik mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohamad Iman, sesi memujuk lelaki warga asing itu memakan masa sekitar 30 minit sebelum dia bertindak menarik tangan individu terbabit dan berjaya dipegang oleh beberapa anggota polis terlibat.
“Saya pun risau nak bertindak sewaktu kejadian. Risaukan juga sekiranya mangsa lompat. Kalau saya gaga waktu itu, mesti saya akan rasa bersalah seumur hidup.
“Keadaan mangsa saya lihat seperti dalam masalah, mungkin berkait keluarga atau kewangan. Matanya merah seperti orang yang sedang menangis,” kongsinya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, anggota Balai Polis Pasir Puteh bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 7.30 malam.
“Lelaki itu kemudiannya dibawa balik ke balai polis kerana bertindak agresif dan di luar kawalan.
“Pemeriksaan awal mendapati warga asing itu berada di bawah pengaruh alkohol,” katanya.
Menurut beliau, semakan ke atas lelaki terbabit mendapati dia tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah.
“Lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tindakan lanjut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.