“JIKA dahulu ketika memulakan perniagaan, untuk menghasilkan sebotol sambal mempunyai proses yang panjang.
“Dari sambal dihasilkan sehinggalah dipasarkan, semua proses perlu difikirkan dan diteliti supaya produk yang dihasilkan berkualiti. Jadi, produk dapat sampai ke tangan pelanggan dengan baik.”
Itu antara momen yang paling diingati oleh Nurul Azlina Hassan, 43, tatkala mengulas mengenai perusahaan sambal miliknya yang sudah hampir sedekad di pasaran.
Katanya, ketika permulaan, sambalnya hanya dijual dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan terdekat.
Selepas hampir sedekad, dia bersyukur segala kesusahan membangunkan dan mempertahankan bisnes miliknya bersama seorang rakan kongsi membuahkan hasil.
“Saya memulakan perniagaan ini dari rumah pada tahun 2015. Usia perniagaan ini sudah menghampiri 10 tahun.
“Alhamdulillah, kami juga sudah beroperasi di kilang cukup selesa dan mempunyai kapasiti pengeluaran lebih tinggi.
“Kalau dahulu ketika di rumah, kami hanya mampu menghasilkan 1,000 botol sebulan. Selepas ada kilang ini, kami dapat keluarkan purata 60,000 botol sebulan,” katanya.
Menyorot kembali kisahnya, sebelum memulakan perniagaan sambal Sambaleena, wanita yang mesra disapa Azlina itu pernah mempunyai perniagaan pakaian selama hampir sedekad, sebelum ditutup.
Ujarnya, kelima-lima cawangan perniagaan pakaian itu terpaksa dihentikan gara-gara aliran tunai yang tidak memuaskan dan kehabisan modal pusingan.
Tidak mahu terus rugi, dia terpaksa mengambil risiko dengan menghentikan operasi. Disebabkan itu, dia banyak menangisi episod kegagalan tersebut.
“Perniagaan pakaian memerlukan modal besar, malah perlu sentiasa ikut peredaran dan perkembangan semasa.
“Saya terpaksa berhenti berniaga daripada terus rugi.
“Tiada apa-apa yang tinggal ketika itu, saya terpaksa memulakan segalanya dari bawah.
“Saya tercari-cari peluang yang boleh diteroka selepas itu, tetapi kebanyakannya bisnes memerlukan modal besar.
“Pada masa sama, saya ada mengambil tempahan sambal daripada rakan terdekat.
“Idea berniaga sambal ini tercetus kerana saya memang gemar menghasilkan sambal menggunakan cili kering yang diproses sendiri berbanding beli sebab rasanya kurang enak.
“Tidak sangka pula, hasil promosi mulut ke mulut oleh rakan yang pernah menempah sambal saya mendapat perhatian ramai. Lama-kelamaan semakin ramai pula yang mahu membelinya,” katanya.
Pada 2015, dia mula menghasilkan sambal tumis segera dan memasarkannya di media sosial.
Katanya, selain sambal, syarikatnya juga menghasilkan produk lain seperti pes masakan sedia dimakan yang berasaskan ayam dan daging.
“Buat masa ini, fokus kami adalah dalam bidang makanan.
“Kami juga ingin mengembangkan pasaran kepada usahawan yang ingin menjadi pengasas dan pemilik perniagaan. Selain itu, syarikat kami menyediakan perkhidmatan menghasilkan produk makanan untuk diniagakan oleh bakal usahawan yang berminat mempunyai produk sendiri,” katanya.
Terbaharu, syarikat tersebut turut melebarkan sayap dalam bidang makanan dan minuman.
Ujar Azlina, dia telah membuka sebuah restoran dikenali Peyoot di Bandar Rinching, Semenyih, Selangor bagi memudahkan orang ramai menikmati produk Sambaleena.