PETALING JAYA – Agrobank telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Borong (dahulunya dikenali sebagai Dropee) dengan pembiayaan berjumlah RM300 juta.
Pembiayaan tersebut akan ditawarkan kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) melalui Program Digital Niaga.
Inisiatif itu adalah kolaborasi strategik dalam usaha untuk membangunkan ekosistem berasaskan perniagaan digital pertanian dan agrobisnes.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, melalui kerjasama itu kedua-dua pihak komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang baharu untuk 15,000 PKMS di Malaysia.
Malah katanya, usaha itu berpotensi menjana impak ekonomi bernilai RM8.6 bilion dalam tempoh tiga tahun.
“Kerjasama strategik dimeterai antara Agrobank dan Borong memberi manfaat kepada komuniti yang kurang mendapat perhatian kepada akses pembiayaan yang lebih komprehensif dengan menawarkan pilihan pembiayaan yang berpatutan.
“Melalui rangkaian Borang, Agrobank dapat menyediakan pembiayaan kepada PMKS mengikut keperluan masing-masing untuk pembangun serta pengembangan perniagaan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, selain pembiayaan, pihaknya juga akan memberikan latihan keusahawanan kepada para usahawan.
Menurutnya, akses kepada latihan keusahawanan ini dapat membantu para peniaga memperkukuh strategi perniagaan supaya mereka dapat meningkatkan daya saing di pasaran yang semakin mencabar.
Tambahan pula, perniagaan yang inovatif dan berdaya tahan akan memacu pembangunan ekonomi negara terutamanya dalam memasarkan produk-produk tempatan yang berkualiti tinggi melalui platform digital terutamanya bagi sektor pertanian.-KOSMO! ONLINE.