TAWAU – Seramai 239 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia termasuk 12 kanak-kanak dipindahkan dari Pelabuhan Tawau untuk dihantar pulang ke negara asal semalam.
Semua PATI terbabit adalah tahanan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau yang dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, program pemindahan tahanan itu adalah siri ke-14 untuk kategori usir melalui jalan laut bagi 2024.
Katanya, pemindahan berkenaan dengan kerjasama Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu dan Konsulat Republik Indonesia (KRI) Tawau.
“Penghantaran pulang tahanan kali ini membabitkan 186 lelaki dan 41 wanita serta 12 kanak-kanak bersama Ibu bapa atau waris masing-masing.
“PATI berusia antara dua hingga 72 tahun itu dihantar pulang menggunakan perkhidmatan feri di sini, ke Terminal Tunon Taka, Nunukan di Indonesia.
“Mereka sebelum ini ditahan di Depot Imigresen, selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media hari ini. – KOSMO! ONLINE