fbpx

Yusoff Rawther didakwa edar kanabis, berdepan penjara seumur hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yusof diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Muhammed Yusoff, 31, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret S.Arunjothi.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Muhammed Yusof didapati mengedar dadah berbahaya iaitu kanabis seberat 305 gram di kawasan tempat letak kereta hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini pukul 10.15 pagi pada 6 September lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39B(2) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Sabri Othman manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Muhammed Yusoff.

Mahkamah kemudian menetapkan 12 November ini bagi sebutan kes dan laporan kimia.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dalam kenyataannya berkata, lelaki tersebut yang ditahan di Jalan Bukit Kiara, di sini telah direman selama enam hari sejak Sabtu lalu.

Katanya, pemeriksaan pihak polis menjumpai dua pucuk pistol tiruan dan satu ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja di dalam kenderaan suspek.

Tambah beliau, orang ramai diminta menyalurkan maklumat tentang sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Semalam peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mengesahkan berhubung penahanan anak guamnya, pada Jumaat lalu.

Peguam itu mengatakan Yusoff yang kini ditahan reman sejak Jumaat lalu menyatakan dengan jelas bahawa pistol dan dadah tersebut bukan miliknya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI