fbpx

Yayasan Infaq Angkasa sasar kutipan wakaf RM7.2 juta setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Fattah (dua dari kiri) menyempurnakan gimik Majlis Perasmian Penutup G-CWTBE di UMK Kampus Kota di Pengkalan Chepa, Kota Bharu malam tadi. Foto MUSTAQIM MOHAMED/ KOSMO!

KOTA BHARU – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menerusi Yayasan Infaq Angkasa (YIA) menyasarkan untuk mengumpul kutipan wakaf sebanyak RM7.2 juta setahun daripada sumbangan ahli koperasi.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, sasaran itu dilihat realistik dengan mengambil kira bilangan keahlian seramai 7.2 juta ahli koperasi di seluruh negara ini.

“Sekiranya setiap ahli dengan rela hati menyumbang RM1 kepada tabung infaq wakaf, maka kita boleh mencapai sasaran berkenaan. Jumlah itu tidak termasuk sumbangan wakaf ahli Angkasa.

“Meskipun bukan semua ahli koperasi beragama Islam, terdapat dalam kalangan bukan Islam aktif menyumbang kepada tabung infaq wakaf,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Persidangan Global Teknologi Wakaf dan Ekonomi Perniagaan (G-CWTBE) di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Abdul Fattah memberitahu, Angkasa telah memulakan kutipan wakaf melalui tabung infaq wakaf sejak 2010 sehingga 2020 dan ia terhad kepada ahli koperasi sahaja.

Menurutnya, selepas YIA ditubuhkan secara rasmi dan didaftarkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2021, kutipan wakaf telah diperluaskan kepada orang ramai termasuk dalam pelbagai bentuk sumbangan.

“Saya difahamkan YIA juga sudah boleh menerima sumbangan wakaf tetap secara potongan gaji dan melalui kaedah itu sahaja kita boleh mengumpulkan sebanyak RM90,000 sebulan. Buat masa kini, Angkasa menyumbang RM1.5 juta wakaf setahun sebagai sumbangan tetap.

“Sejak mula membuat kutipan, YIA telah berjaya mengumpulkan sumbangan wakaf sebanyak RM30 juta. Daripada jumlah itu, kita sudah belanjakan RM17 juta untuk aktiviti wakaf dengan fokus membeli bangunan untuk dijadikan premis perniagaan,” ujarnya.

Abdul Fattah yang juga pengasas YIA berkata, langkah itu bersesuaian dengan hasrat untuk meningkatkan ekonomi umat Islam melalui pengurangan kos sewa premis dengan penetapan kadar berpatutan sekali gus membantu meringankan beban pengusaha Islam dalam penyediaan kos pengeluaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI