PETALING JAYA – Menjadi impian setiap pekerja untuk memiliki majikan yang bertimbang rasa lebih-lebih setelah penat berhempas pulas untuk menjayakan visi dan misi syarikat.
Hari ini usahawan dan pempengaruh, Khairul Aming sekali lagi mengejutkan pengguna media sosial apabila berkongsi video percutian pekerjanya ke Pulau Pinang.
Di samping hotel mewah dan aktiviti menarik, paling mencuri perhatian apabila Khairul Aming membawa pekerjanya makan di sebuah restoran nasi kandar.
Kelihatan di dalam video yang dimuat naik di Instagram, seramai 100 pekerja teruja beratur panjang untuk mendapatkan hidangan yang sinonim dengan negeri tersebut.
Paling seronok, mereka dibenarkan mengambil apa sahaja lauk seperti sotong, udang dan lamb shank sehingga mereka berpuas hati.
Harga seketul sotong atau udang bermula RM15 hingga RM50 bergantung kepada saiz, manakala harga lamb shank pula bermula RM30 hingga RM50 seketul.
Berdasarkan bil dikongsikan jumlah yang dibayar Khairul Aming sebanyak RM3,400.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati, ramai yang bergurau mahu bekerja dengan Khairul Aming agar dapat makan nasi kandar tanpa had.
“Syok betul ‘part’ makan nasi kandar tu. Masa itulah nak merasa makan udang, sotong semua,” komen Iman Ema.
“Nak kerja dengan Khairul Aming sebab nak ambil udang dan sotong dekat restoran nasi kandar,” komen Najiha.
“Ingat senang ke nak ambil sotong, udang ‘unlimited’ macam tu. Biasanya berkira-kira, sebab takut harga tak mampu nak bayar. Tapi Khairul Amin ‘steady’ je bagi ‘unlimited’ dekat staf dia,” komen Farah pula. – KOSMO! ONLINE