MUAR – Suspek utama yang dipercayai membunuh ibu dan bapa serta anak saudaranya sebelum membakar rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini bulan lalu dihukum penjara sembilan tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bagi pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Azman Mohamed Noh, 48, selepas lelaki itu membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas anak saudaranya, Norazmina Mohd. Razi, 14, dengan kayu yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.
Kesalahan dilakukan pada pukul 1 hingga 3 pagi di No.33, Jalan Sekolah Kampung Paya Redan pada 9 Ogos lalu.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Mengikut fakta kes, sebelum kejadian, mangsa dan adiknya, Noradriana Nor Hasyim, 11, telah ke belakang rumah untuk mencari tertuduh selepas melihat rumah mereka terbakar.
Tertuduh yang sedang memegang kayu secara tiba-tiba memukul mangsa namun Norazmina sempat menepis menggunakan tangan sebelum melarikan diri ke belakang rumah jirannya dan menyorok di belakang timbunan pasir.
Noradriana bagaimanapun pengsan di lokasi selepas dipukul di kepala.
Norazmina dijaga oleh jirannya sehingga ambulans tiba, manakala tertuduh pula meninggalkan lokasi dalam keadaan tergesa-gesa dengan menunggang motosikal.
Terdahulu, Azman yang tidak diwakili peguam hanya membuat rayuan setelah Hakim menjelaskan beberapa kali mengenai hukuman yang boleh dikenakan terhadapnya.
Azman memaklumkan dia telah menyesal dan insaf atas perbuatannya dan tidak akan mengulangi sebarang perbuatan jenayah. Azman juga memohon hukuman berbentuk penjara dan denda diberikan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki bagaimanapun memohon hukuman diberikan bukan sahaja pengajaran terhadap tertuduh tetapi masyarakat susulan kes tersebut telah mendapat perhatian rakyat Malaysia.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara sembilan tahun daripada tarikh jatuh hukum dan denda sebanyak RM5,000 atau penjara lima bulan jika gagal bayar.
Terdahulu, Azman pada 20 Ogos lalu telah didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh Ara Ab. Hamit, 76; Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82 dan Noradriana Nor Hasyim, 11, yang juga merupakan ibu dan bapa serta anak saudaranya di lokasi, masa dan tarikh sama.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati atau penjara bagi suatu tempoh yang tidak kurang 30 tahun dan lebih 40 tahun dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang 12 sebatan.
Dalam kejadian 9 Ogos kira-kira pukul 1.30 pagi itu, Azman disyaki membunuh kesemua mangsa sebelum bertindak membakar rumah pusaka didiami dengan ibu bapanya ditemui rentung 80 peratus di dalam sebuah bilik.
Noradriana pula disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini selepas mengalami kecederaan parah pada kepala akibat hentakan objek tumpul. – KOSMO! ONLINE