PETALING JAYA – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kanazawa University, Ishikawa, Jepun bagi memperkasakan pengantarabangsaan pendidikan tinggi kedua-dua institusi.
Majlis MoU yang berlangsung di Kanazawa University itu ditandatangani oleh Naib Presiden Kanazawa University, Professor Noriko Hasebe dan Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Md. Amin Md. Taff.
Noriko berkata, Kanazawa University sentiasa terbuka untuk menerima masyarakat tempatan dan global bagi menjalankan penyelidikan khusus dalam bidang pendidikan.
Jelasnya, Kanazawa University mempunyai perjanjian persefahaman dengan 341 institusi dari 363 buah negara serta mempunyai 824 pelajar antarabangsa pelbagai peringkat yang belajar di universiti tersebut.
“Contohnya, Profesor Atsuro Tsutsumi dari Institut Sains Transdiskriminasi Inovasi menjalankan penyelidikan bersama UPSI sejak tahun 2016,” katanya dalam kenyataan UPSI hari ini.
Tambah Noriko, program pertukaran pelajar seperti Program Latihan Bahasa dan Budaya Jepun dan Kanazawa University Short-term Exchange Program (KUEP) akan lebih memperkasakan kecemerlangan pelajar pada masa akan datang.
Sementara itu, Md. Amin berkata, MoU yang ditandatangani lebih memfokuskan terhadap pembangunan manusia, kesihatan mental, dan psikologi pendidikan selaras dengan kekuatan Universiti Kanazawa dalam penyelidikan dan inovasi pelbagai disiplin.
Ujarnya, kedua-dua institusi akan menyediakan peluang kepada pelajar dan kakitangan dalam aspek akademik, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan latihan.
“Kerjasama program mobiliti antarabangsa menerusi pertukaran pelajar dan program-program akademik antara dua universiti ini akan berlangsung dalam konteks budaya Malaysia-Jepun yang unik dan teknologi pendidikan yang tinggi.
“Kerjasama ini akan menjadi platform untuk menjana idea-idea baharu yang menyumbang kepada wacana global mengenai pendidikan, kesihatan mental dan pembangunan manusia,” ujarnya.
Menurut Md. Amin lagi, melalui kerjasama ini, ia juga bakal menyumbang dalam konteks penyelidikan khususnya bagi aspek kesihatan mental pelajar, kepelbagaian budaya dalam pendidikan, dan pembangunan teknologi pembelajaran adaptif.
Jelasnya, sinergi penyelidikan kedua-dua negara akan membawa kepada kemajuan yang penting yang boleh diaplikasikan dalam konteks pendidikan Malaysia dan Jepun.
“Program mobiliti pelajar juga dilihat dapat memperkasakan pendidik dan profesional yang mahir dalam teori dan amalan selain memperoleh pengalaman akademik yang bermakna kerana mengalami kepelbagaian budaya dua negara.
“Diharap dengan kerjasama yang diperkukuh menerusi MoU dapat memberikan implikasi yang besar kepada lanskap pendidikan tinggi Malaysia dan Jepun,” katanya. – KOSMO! ONLINE