fbpx

Timbalan Menteri Kuskop antara 27 penerima darjah kebesaran Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramanan hari ini dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang yang membawa gelaran Datuk Seri. - Foto KESULTANAN PAHANG

PETALING JAYA – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan hari ini dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan darjah kebesaran itu bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-65 Baginda di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang.

Menerusi laman rasmi Facebook Kesultanan Pahang, turut berangkat ialah Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Selain Ramanan, kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Dr Meriam Sultan Ahmad Shah juga dianugerahkan Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) yang membawa gelaran Datuk Sri Setia.

Sultan Pahang turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Sri kepada Mantan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Harjeet Singh Hardev Singh.

Selain itu, turut menerima gelaran tersebut ialah Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Indera Ir. Baharin Din dan Pengarah Urusan Southern Acids (M) Berhad, Dr. Low Kok Thye.

Sementara itu, Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) Yang Membawa Gelaran Datuk Indera kepada Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd. Dom.

Turut menerima gelaran yang sama, Panglima Operasi Udara Leftenan Jeneral TUDM Datuk Mohd. Shahda Ismail, Presiden Tunku Abdul Rahman University Of Management and Technology (TAR UMT), Profesor Ir. Dr Lee Sze Wei dan Pengarah Urusan Menara Network Sdn. Bhd, Datuk Ab Razif Asmuni.

Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia Peringkat Kedua Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) Yang Membawa Gelaran Datouk kepada Peguam Kanan Tetuan Nik Saghir dan Ismail Peguambela dan Peguamcara, Yang Mulia Tengku Shaiful Aftar Shah Tengku Datuk Mustafa.

Selain itu, turut menerima gelaran tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Ir. Mohd Zaki Mat Amin, Pengerusi Yindi Group China, Zhu Yilong, Timbalan Pengerusi Thailand Charoen Pokphand Group (China), Li Wenhai.

Turut menerima darjah kebesaran dan gelaran sama ialah Asisten Ketua Staf Kejuruteraan TUDM, Mejar Jeneral Hishammudin Abdul Rahman, Panglima Bantuan Udara TUDM, Mejar Jenaral Masro Kaliwonserta Pengarah Urusan Asian Art Production Sdn. Bhd, Rozaidi Baharudin.

Dalam pada itu, 11 orang dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk termasuklah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Hajah Sapiah Datuk Mohd. Nor.

Turut menerima darjah kebesaran yang sama, Ahli Dewan Negeri Kawasan Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar, Ahli Dewan Negeri Kawasan Beserah , Andansura Rabu dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi.

Turut tersenarai ialah Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Perak, Ahmad Sabri Mohamed, Pegawai Daerah Raub, Mohd. Khuzaidi Harun dan Timbalan Pengarah (Risikan / Operasi) Polis Diraja Malaysia (PDRM), DCP Fadil Marsus.

Selain itu, penerima darjah kebesaran yang sama ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Leftenan Kolonel Profesor Ir. Ts. Dr. Ahmad Ziad Sulaiman dan Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB, Mohd. Rashid Mohamad.

Presiden Stella Maris International School, Kuala Lumpur, Tang Beng Cheok serta Pengerusi Eksekutif FMT Media Sdn Bhd, Nelson Fernandez juga menerima gelaran yang sama pada majlis tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI