PETALING JAYA – Hati sering dilukai, penyanyi Aina Abdul mengakui kebanyakan karya ciptaannya diinspirasikan daripada episod duka yang dilaluinya ketika bercinta dahulu.
Mengakui parut masih berbekas, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berterima kasih kepada bekas kekasih kerana mengecewakannya sehingga mencetuskan idea mencipta lagu galau.
“Kalau dengar lagu-lagu saya semua sendu (sedih), itu adalah luahan hati. Memang agak pelik, tetapi kisah silam dan pengalaman cinta terdahulu yang buatkan saya boleh menulis lagu.
“Betul kata Ariana Grande, ‘thank you to my ex’ (terima kasih bekas kekasih). Sama seperti saya, kalau tidak disebabkan kerap gagal bercinta sebelum ini, mungkin saya tiada isi atau idea menulis lagu.
“Kalau dalam keadaan gembira, idea untuk menulis lagu tidak akan keluar. Mungkin akan jadi lagu berbentuk motivasi sahaja,” katanya dalam sebuah podcast.
Percaya mampu menghasilkan karya dengan baik ketika dalam keadaan tertekan, pelantun lagu Puas Sudah itu berpendapat kebanyakan pemuzik terutama penulis lirik pernah mengalami depresi.
“Saya seorang yang sangat kompleks, saya akui tidak bagus dalam percintaan. Boleh dikatakan pemuzik adalah orang yang mempunyai masalah depresi.
“Perkara itu adalah sesuatu yang tidak boleh dielak. Mungkin agak gila untuk dikatakan, tetapi saya sebagai pemuzik, suka apabila depresi. Baru dapat roh itu.
“Kalau berborak dengan mana-mana pemuzik, mungkin mereka akan cakap benda sama, kita suka berada dalam keadaan tertekan,” ujarnya.
Terdahulu, lebih daripada lima lagu ciptaan pemenang Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) itu bergenre balada berat dan bernaratifkan percintaan toksik seperti Semalam, Jangan Mati Rasa Itu, Puas Sudah, Sesal, Sedia Terluka dan Kamu. – KOSMO! ONLINE.