fbpx

Suami isteri didakwa edar dadah 6.3 kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maline (kiri) dan Mohd. Tarmizi (dua dari kiri) dihadapkan atas dua pertuduhan mengedar dadah seberat 6.3 kg di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Sepasang suami isteri berdepan hukuman mati apabila dihadapkan atas dua pertuduhan mengedar dadah seberat keseluruhan 6.3 kilogram (kg) pada dua minggu lalu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Mohd. Tarmizi Ramle, 34, dan isterinya, Maline Mohd. Pauzi, 37, sekadar mengangguk faham sebaik pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama mengedar dadah jenis methamphetamine dan nimetazepan masing-masing seberat 5,708.18 gram (g) dan 631.91g.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Mohd. Tarmizi dan Maline di sebuah rumah di Jalan Kubang Ikan di sini pada pukul 1 tengah hari, 1 September lalu.

Pasangan peniaga itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum mati, boleh disebat minimum 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 13 November depan.

Kosmo! Online 2 September lalu melaporkan pasangan suami isteri terbabit yang disyaki dalang sindiket pengedaran dadah berjaya diberkas polis bersama dadah dan aset bernilai keseluruhan RM1.05 juta.

Serbuan tersebut berjaya menyita wang tunai RM79,000, barangan kemas, kereta Volkswagen Golf GTI dan Honda Jazz, motosikal jenis Yamaha RX-Z, Honda Vario dan dua buah Yamaha Y15ZR. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI