fbpx

Perjanjian perolehan pertahanan, tingkat hubungan Malaysia-Korea Selatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamed Khaled (kanan) ketika membuat kunjungan hormat kepada Seok pada penganjuran SDD 2024 di Seoul.

SEOUL, KOREA SELATAN – Perjanjian perolehan dalam sektor pertahanan antara Malaysia dan Korea Selatan akan memainkan peranan baharu dalam mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, menerusi perjanjian itu, ia membolehkan sebarang bentuk perolehan yang bakal dibuat tidak melalui ejen, sebaliknya secara terus antara negara (G2G).

“Kita berbincang mengenai perlunya (perjanjian perolehan) memandangkan kita sudah mempunyai perjanjian kerjasama pertahanan yang ditandatangani pada 2022.

“Tetapi, ada permintaan daripada Korea Selatan untuk kita buat satu lagi perjanjian untuk naik taraf hubungan dua hala iaitu perjanjian perolehan antara kedua-dua kerajaan dalam sektor pertahanan,” katanya kepada pemberita selepas membuat kunjungan hormat kepada Menteri Perolehan Program Pertahanan Korea Selatan, Seok Yong Gun.

Kunjungan hormat itu dibuat Mohamed Khaled sempena sesi Dialog Pertahanan Seoul (SDD) 2024 yang diadakan di sini hari ini.

Sementara itu, dengan memberi contoh hubungan dibuat bersama Turkiye, Mohamed Khaled berkata, Korea Selatan menyatakan hasrat membuat perjanjian sama bagi membolehkan perolehan dibuat menerusi konsep G2G.

“Kita tidak menandatangani perjanjian seperti ini dengan mana-mana negara, melainkan jika mereka bersedia berkongsi teknologi serta membantu untuk membangunkan industri pertahanan tempatan.

“Kita juga tiada halangan untuk bekerjasama dalam bidang ini, lebih-lebih lagi terhadap negara yang kita yakin dan beras selesa,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Malaysia tidak mempunyai halangan berhubung perjanjian itu susulan percaya dengan keakraban ditonjolkan Korea Selatan selain ikhlas ingin membantu meningkatkan industri pertahanan tempatan.

“Sekarang ini, fokus Malaysia ialah membangunkan dan memantapkan industri pertahanan kerana kita tidak boleh selamanya bergantung kepada perolehan luar negara.

“Jadi, apabila kita bercakap mengenai industri pertahanan, tidak semestinya kita menjadi pengeluar aset, ia boleh juga menjadi seperti pengeluaran komponen,” katanya.

Ujar beliau, berikutan kemudahan dimiliki seperti penyediaan perkhidmatan dan penyelenggaraan, Malaysia berupaya menjadi negara kuat melalui penawaran kemudahan MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan pengubahsuaian) dalam sektor pertahanan.

“Maknanya, ini sebahagian daripada industri pertahanan dan boleh tawarkan perkhidmatan MRO untuk apa sahaja pesawat sebagai contoh.

“Jadi, kita bersedia dengan perkhidmatan MRO dan komponen selain boleh menjalankan kerjasama untuk membuat penyelidikan dalam bidang teknologi dan aset pertahanan lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI