LONDON – Keputusan Chelsea meminggirkan pemain sehingga langsung tidak memberikan peluang beraksi hanya akan merugikan kelab khususnya dalam aspek kewangan pasukan.
Pertahanan kiri The Blues, Ben Chilwell langsung tidak kisah dengan gelaran ‘pemain buangan’ selepas namanya tidak berada dalam perancangan pengurus pasukan, Enzo Maresca
Ketika pemain seperti Raheem Sterling, Conor Gallagher dan Romelu Lukaku yang mengalami nasib hampir sama sudah pun ‘mengangkat kaki’, namun Chilwell masih gembira untuk kekal di Stamford Bridge bagi menikmati gaji lumayan sebanyak £200,000 (RM1.1 juta) seminggu.
Walaupun hanya berpeluang beraksi dalam saingan Piala Liga Inggeris (EFL), pemain berusia 27 tahun tersebut kekal gembira jika itu adalah kesempatan tunggal buatnya untuk beraksi bagi tempoh beberapa bulan sebelum jendela perpindahan dibuka semula pada Januari nanti.
Dalam masa sama, Maresca juga dilaporkan tidak akan mengubah keputusan dan pendiriannya untuk menyenaraikan Chilwell dalam perancangannya.
Sumber rapat dengan Chilwell percaya tindakan Chelsea meminggirkan pemain itu langsung tidak masuk akal dan ia hanya akan mengurangkan nilai seseorang pemain menjelang jendela perpindahan selepas ini.
Selepas ini, The Blues akan menghadapi dua aksi di tempat lawan bertemu Bournemouth di Stadium Vitality awal pagi Ahad ini dan West Ham United di Stadium London (21 September) sebelum berdepan Barrow AFC dalam saingan EFL di Stamford Bridge pada 25 September ini. – AGENSI