fbpx

Lagi 12 ekor lembu ditinggalkan penyeludup di tebing Sungai Golok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota tentera menunjukkan sembilan ekor lembu yang ditinggalkan penyeludup di kawasan tebing Sungai Golok dekat Tanah Merah semalam. FOTO IHSAN DUA DIVISYEN

TANAH MERAH – Sebanyak 12 ekor lembu ditinggalkan di tebing Sungai Golok di sini semalam selepas kejadian sembilan ekor lembu dan seekor kerbau dijumpai berhampiran kawasan tersebut seminggu lalu.

Kesemua lembu yang dianggarkan bernilai RM 60,000 ditemukan di kawasan tersebut apabila dua penyeludup bertindak lari meninggalkan haiwan ternakan itu selepas kegiatan mereka dikesan oleh anggota tentera darat kira-kira pukul 1.15 tengah hari.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, kesemua haiwan itu ditinggalkan di kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia dekat sempadan Malaysia-Thailand di sini.

Menurutnya, sewaktu serbuan dijalankan, kedua-dua lelaki itu sempat melarikan diri dengan menyeberang Sungai Golok ke Thailand.

“Seorang lagi lelaki yang dipercayai bersubahat dengan kegiatan tersebut juga melarikan diri menaiki sebuah trak pikap ke arah jalan utama.

“Pemeriksaan di lokasi itu kemudian menjumpai sebanyak 12 ekor lembu seludup bernilai hampir RM60,000 ditinggalkan mereka,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu, siasatan mendapati, kesemua haiwan itu dibawa masuk dari Thailand dengan merentasi kawasan Sungai Golok yang cetek.

Katanya, sehubungan itu, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung rampasan haiwan ternakan tersebut selain maklumat berkaitan trak pikap dinaiki suspek di Balai Polis Lalang Pepuyu di sini.

“Kesemua rampasan lembu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) manakala kes penyeludupan itu disiasat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga.

“Kes itu merupakan rampasan haiwan ternakan
yang kedua berlaku di kawasan tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia pada bulan ini,” ujarnya.

Kenyataan itu turut memberitahu, rampasan pertama pada bulan ini berjaya dipatahkan dengan merampas sembilan ekor lembu dan seekor kerbau pada 4 September lalu.

Katanya, tentera darat terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara selain tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan dan penyeludupan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI