fbpx

KPKT lancar GPP KiTa, garis panduan pertanian di kawasan bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming (dua dari kanan) melancarkan Garis Panduan Perancangan Kilang Tanaman (GPP KiTa) di Laman Sayur MARDI, Serdang, Selangor hari ini

SERDANG – Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan Garis Panduan Perancangan Kilang Tanaman (GPP KiTa) bagi menyeragam serta memudah cara proses permohonan dan kelulusan perancangan pertanian di kawasan bandar.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, GPP KiTa akan diedarkan kepada 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara esok dan setiap permohonan untuk pembinaan kilang tanaman boleh mengikut garis panduan ditetapkan tersebut.

“Kini Malaysia berdepan dengan proses urbanisasi yang pesat dimana kadar perbandaran telah mencecah 75 peratus dan melibatkan sebanyak 24 juta penduduk.

“Proses ini menyebabkan pengurangan kawasan pertanian bertanah terutama di kawasan bandar. Pada masa sama, import makanan semakin meningkat dengan jumlah dicatatkan RM78.7 billion tahun lepas.

“Oleh kerana itu, mengoptimumkan kawasan tanaman makanan melalui GPP KiTa adalah agenda nasional kita bersama,” katanya pada Majlis Pelancaran GPP KiTa di Laman Sayur Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini hari ini.

Kor Ming menjelaskan, kilang tanaman merupakan salah satu kaedah untuk menyokong pertanian pintar serta menggalakkan pertanian bandar di kawasan yang mempunyai limitasi tanah pertanian.

Menurut beliau, kilang tanaman merupakan sistem pertumbuhan sayur-sayuran secara tertutup dalam bangunan yang menggunakan sistem berteknologi dengan kawalan persekitaran optimum.

Kata beliau, antara faedah kilang tanaman adalah ruangnya yang lebih jimat, masa lebih singkat, kualiti dan harga pasaran lebih tinggi serta tanaman dihasilkan lebih sihat untuk dimakan.

“Secara umumnya, GPP KiTa meliputi tiga aspek iaitu pengoperasian, perancangan tapak dan prosedur permohonan dan kelulusan perancangan.

“Ia juga melibatkan tiga kategori cadangan pemajuan kilang tanaman iaitu kawasan baharu (bangunan kekal dan separa kekal), brownfield dan premis sedia ada.

“Perkhidmatan khidmat nasihat akan diberikan secara percuma oleh MARDI, manakala daripada segi modal saya rasa pihak Agrobank boleh membantu,” katanya.

Jelas beliau, garis panduan itu telah diangkat dan dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada Jun lalu dan Mesyuarat Majlis Negara KerajaanTempatan (MNKT) Ke-83 pada Selasa lalu juga telah memberi persetujuan.

“Setakat hujung tahun 2023, Malaysia mempunyai 43 kilang tanaman. Sumbangan pertanian bandar yang terdiri daripada kilang tanaman dan kebun komuniti terhadap pengeluaran sayuran negara telah mencapai 13 peratus atau 1,233 tan metrik.

“Dengan GPP KiTa, kami berhasrat untuk menggalakkan pertanian bandar supaya mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan import serta mencapai keterjaminan sekuriti makanan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI