PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil keterangan pihak pengurusan tertinggi rumah amal sebuah syarikat terkenal termasuk pengarahnya bagi membantu siasatan berhubung kegiatan eksploitasi kanak-kanak.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ekoran dakwaan itu, siasatan lanjut masih berjalan dan kesemua 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun yang diselamatkan kini berada dalam jagaan pihak polis.
Katanya, kanak-kanak terbabit dijamin selamat di pemantauan pasukannya dengan bantuan daripada agensi lain termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan.
“Buat masa ini, kanak-kanak ini berada di bawah pemantauan kita (polis) untuk disaring pemeriksaan kesihatan mereka selain membuat dokumentasi.
“Proses ini sudah semestinya mengambil masa yang lama di antara tujuh sehingga 12 hari kerana jumlah mereka yang diselamatkan terlalu ramai dan perlu dilakukan satu persatu mengikut prosedur operasi standard (SOP).
“Jadi, beri kami (polis) masa untuk selesaikan proses ini dahulu sebelum tindakan selanjutnya diambil bagi memastikan kanak-kanak in ini benar-benar selamat,” katanya.
Mengulas lanjut, siasatan terhadap syarikat itu masih berjalan merangkumi pelbagai sudut.
Tambahnya, kesemua 171 individu terdiri penjaga, guru agama serta pengerusi kesemua rumah amal yang beroperasi di Hulu Selangor, Klang Utara, Shah Alam, Sepang, Kajang, Petaling Jaya, Subang Jaya ini telah direman bagi membantu siasatan.
“Kesemua mereka direman bagi siasatan lanjut Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611]; Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 [792]; Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] Kanun Keseksaan [Akta 574] dan undang-undang lain yang sedang berkuat kuasa.
“Soal siasat masih berjalan ketika ini,” jelasnya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seramai 402 kanak-kanak termasuk 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksplotasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik syarikat terkenal itu.
Dalam serbuan Ops Global yang dijalankan, seramai 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian berusia 17 hingga 64 tahun turut ditahan.
Menurut Razarudin, antara modus operandi digunakan adalah mendedahkan mangsa mengenai cara meliwat sebelum diliwat penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni lain. – KOSMO! ONLINE