JAKARTA – Sebuah hantaran tular yang mendakwa bahawa pocong menjadi punca seorang lelaki disaman oleh kamera pengawasan lalu lintas, disahkan palsu, lapor laman berita Detik semalam.
Dalam hantaran dikongsikan di platform X, seorang pengguna mendakwa bahawa adiknya disaman kerana pocong yang membonceng motosikal itu tidak memakai topi keledar.
Namun, seorang pengguna X yang tidak mempercayai perkara itu kemudian cuba menyiasat sebelum mendapati, susuk yang kelihatan seperti pocong tersebut sebenarnya adalah bayang-bayang penunggang motosikal itu sendiri.
Pengguna tersebut berjaya mendapatkan rakaman asli sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan gambar sebenar adalah bayang-bayang lelaki berkenaan yang berwarna hitam.
“Habis semua pocong menjadi mangsa fitnah,” katanya.
“Kasihan pocong kena fitnah,” kata pengguna media sosial lain.
Dalam pada itu, Ketua Unit Trafik Polis Pasuruan, Asisten Komisioner Deni Eko Prasetyo menegaskan bahawa gambar pocong itu adalah palsu.
Menurutnya, penunggang motosikal terbabit disaman kerana tidak memakai topi keledar.
Deni turut menunjukkan gambar asal surat saman yang memaparkan hanya terdapat bayang-bayang hitam penunggang motosikal.
“Dia sudah membayar saman tersebut,” katanya. – AGENSI