PETALING JAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa semua pihak untuk melindungi mangsa kanak-kanak khususnya yang dikaitkan dengan jenayah seksual.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya melihat ramai pengguna di media sosial yang memuatnaik dan berkongsi semula gambar dan video kanak-kanak yang dikatakan mangsa eksploitasi beberapa pihak.
“Pihak kami bimbang tindakan itu akan memberi ruang dan peluang pihak yang melakukan jenayah untuk melarikan diri dari pendakwaan undang-undang.
“Kita faham rakyat amat terkesan dengan pendedahan terkini namun kita harus percaya pihak berkuasa termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengembeleng tenaga untuk menyelamatkan mangsa dan menyiasat perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nadzim berkata, pihak berkuasa mengajak orang ramai melindungi mangsa kanak-kanak dengan mengaburkan wajah kanak-kanak yang terlibat dan pengguna media sosial sudah sedia maklum mengenai kuasa pengguna yang ada pada mereka kerana setelah mereka menularkan isu-isu yang penting, pihak berkuasa akan bertindak serta merta.
“Semangat ini kita puji namun kena juga ada batasan dan tidak sehingga memfitnah, bagus untuk mengetengahkan masalah dan mendapat perhatian pihak berkuasa namun berhati-hati juga dengan gejala fitnah.
“Sebaiknya semua pihak diajak menyiasat dan membuat penilaian terdahulu sebelum menyebarkan maklumat agar tidak terpalit dengan tindakan saman dan sebaliknya,” katanya.
Pihaknya turut memuji tindakan pantas pihak berkuasa dalam menangani isu yang tular kini dan berharap siasatan yang terperinci dapat dilaksanakan.
“Semoga undang-undang dapat ditegakkan dan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya, tuduhan yang dilemparkan amat serius terutama dakwaan ada jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.
Semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan PDRM berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang
disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi gerakan ‘Op Global’.
Mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki dan 201 perempuan. – KOSMO! ONLINE.