PETALING JAYA – Seorang pengusaha bengkel kereta berkongsi kisah pekerja baharunya yang sanggup datang dari Kedah ke Pulau Pinang untuk mencari rezeki.
Pengusaha itu yang dikenali sebagai Alen Castello memuat berkongsi perkara tersebut menerusi hantaran di Facebook semalam.
Katanya, pada suatu petang, bengkelnya, Workshop4u yang terletak di Tasek Gelugor didatangi seorang lelaki dengan menunggang motosikal.
“Aku nampak dia sedang bertanyakan sesuatu kepada ‘chip’ Ajis dan Ajis menunjukkan isyarat tangan di dalam pejabat, kemudian dia melihat di dalam pejabat dan waktu itu aku sedang bercakap dengan telefon,” katanya.
Bercerita lanjut, Alen Castello berkata, selesai sahaja tugas di dalam pejabat, dia
segera membuka pintu dan dengan spontan lelaki tersebut bertanya mengenai kerja kosong di bengkel.
“Aku jemput dia masuk ke dalam (pejabat), kemudian aku bertanyakan beberapa soalan, pertama susah bangun tidur tak? Tinggal mana? Berapa tahun pengalaman?,” kongsinya.
Jelas pemilik tersebut, pada mulanya dia berat hati untuk mengambil pekerja baharu disebabkan perniagaan yang diusahakannya itu kekurangan pelanggan meskipun lelaki berkenaan mempunyai 25 tahun pengalaman.
Menurut Alen Castello, tujuan utama lelaki tersebut keluar mencari kerja di Pulau Pinang adalah kerana tidak mampu untuk terus berada di rumahnya dekat Kedah selepas kehilangan isteri tercinta pada sambutan Aidilfitri lalu.
“Kebetulan ada sebuah kereta tak boleh hidup, aku minta dia selesaikan dalam masa 30 minit. Terbukti dia mempunyai pengalaman lama dalam bidang automotif, dalam masa 15 minit beliau hidupkan enjin kereta tersebut.
“Aku terus jerit dari jauh, kau terus kerja bang. Aku nampak senyuman kepuasan dari raut wajahnya. Dia tak tahu air mata aku yang mengalir kat belakang tadi,” luahnya.
Pemilik tersebut turut mengizinkan lelaki terbabit untuk tinggal di bengkelnya sementara mencari bilik sewa di kawasan berdekatan selain menawarkan makan percuma sekiranya pekerja itu tidak mencukupi wang belanja.
“Aku cuma berdoa dengan kehadiran beliau Allah memberi aku rezeki lebih untuk berkongsi dengan setiap orang yang ada dalam ruang lingkup aku,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE