fbpx

‘Dah balik, ibu buat masak lemak kuning otak lembu kesukaan Syamsul’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
YUSOF menzahirkan rasa syukur akhirnya anaknya, Syamsul pulang bertemunya dan isteri, Patimah semalam.

PETALING JAYA – Teruja menyambut kepulangan Syamsul Yusof, ibunya iaitu Datin Patimah menyediakan lauk kegemaran anak kesayangannya itu iaitu masak lemak kuning otak lembu.

Bapa pengarah itu, Datuk Yusof Haslam berkata, isterinya berhajat menyajikan hidangan makan malam hasil air tangan sendiri sebaik Syamsul memaklumkan mahu balik ketika menghubungi Patimah Isnin lalu.

“Apabila Syamsul menghubungi ibunya dan beritahu nak balik rumah jumpa kami berdua, saya panjatkan rasa syukur kepada Allah atas kemanisan dihadirkan buat keluarga kami.

“Sudah tentu ibunya paling teruja sampai minta ingatkan jangan lupa temankan dia ke pasar pagi semalam sebab nak beli paru serta otak lembu.

“Isteri saya kata dah lama Syamsul tak rasa lauk-pauk air tangannya terutama juadah kesukaannya iaitu masak lemak kuning otak lembu, cuma paru pula dah habis awal,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut Yusof, kesediaan Syamsul pulang bertemu mereka  sudah cukup menggembirakan seisi keluarga yang menantikan detik berharga itu selepas hampir lima tahun tidak bertemu. 

Justeru itu, dia dan isteri enggan lagi mengungkit kisah lampau mahupun rajuk putera mereka itu.

Akuinya, air mata mengalir laju di pipi sebaik melihat darah daging yang ditunggu-tunggu selama ini muncul depan mata dan memberi pelukan hangat.

“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kami. Tiada yang lebih membahagiakan ibunya selain melihat Syamsul ada depan kami, bersalaman meminta maaf atas kekhilafannya seterusnya dapat memeluknya semula.

“Kami dah lama maafkan Syamsul. Siapa yang tidak sayang anak. Besar harapan kami terutama ibunya agar kami semua dapat berkumpul seperti dulu.

“Sambil menikmati hidangan, kami banyak berborak pasal keluarga dan kerja. Hal peribadinya pula biarlah dia uruskan, perkara itu kami tak boleh campur tangan,” ujarnya.

Kata sutradara filem Sembilu itu lagi, berikutan kerja pos produksi filem The Original Gangster belum selesai, Syamsul perlu meneruskan tugasan di studio selepas menikmati makan malam bersama.

“Boleh dikatakan dua jam juga kami berbual. Selepas itu Syamsul kena balik menyambung tugasan untuk filem baharu yang bakal ditayangkan dalam tempoh terdekat.

“Tidak mengapalah, kepulangannya ini sudah menunjukkan petanda yang baik. Walaupun dia tak cakap bila lagi nak balik, saya tahu dia akan pulang lagi.

“Kami pun faham dan tak mahu memaksa. Asalkan dia sihat, kerja pun okey itu dah cukup melegakan hati kami. Orang yang paling gembira sudah tentu ibunya.

“Saya cakap kepada dia apa yang berlaku itu adalah ujian kehidupan. Kita lalui dengan tenang dan kembali ke pangkal jalan, kita buka buku baharu,” katanya.

Sambung Yusof, sebelum kembali semula ke studio, anaknya itu berpesan agar dia dan isteri jaga kesihatan. 

“Dia minta saya dan ibunya jangan stres. Kena jaga kesihatan. Itu pesan Syamsul,” ujarnya yang memaklumkan Syamsul pulang ke rumah mereka atas kerelaan sendiri.

Malam tadi Patimah memuat naik foto bersama Syamsul yang sudah kembali ke pangkuan keluarga dalam Instagram Story. 

Tidak cukup dengan itu, Patimah  turut berkongsi sekeping lagi gambar yang memaparkan bekas isteri pertama Syamsul iaitu Puteri Sarah Liyana turut bersama mereka.

Dalam foto itu, Syamsul dilihat mendukung anak perempuannya Sumayyah sementara Puteri Sarah pula tersenyum dan berdiri antara Patimah dan Yusof.

Sebelum ini Syamsul sudah lama tidak pulang atau berhubung dengan keluarga selepas berlaku pergolakan rumah tangga dengan Puteri Sarah hingga membawa kepada perceraian.

Konflik tersebut berlanjutan apabila pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu bernikah secara rahsia dengan Ira Kazar yang juga anak kepada pelakon vetera Kazaruddin Saisi.

Yusof pula ketika itu mengakui sudah reda dan berlapang dada sekiranya Syamsul tetap berkeras enggan pulang bertemunya dan isteri. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI