PETALING JAYA – Kaedah pembelian barangan melalui perkhidmatan Beli Dahulu Bayar Kemudian (BNPL) yang pada mulanya dianggap memudahkan, kini ‘menjerat’ para penghutang.
Mana tidaknya, ada beberapa penghutang perlu melunaskan bayaran lebih RM2,000 sebulan kerana terperdaya dengan tawaran menarik oleh platform e-dagang yang sering menaikkan had hutang.
Menerusi satu hantaran di Facebook mengenai perbincangan tentang skim tersebut, kelihatan ramai yang ‘garu kepala’ apabila mempamerkan tangkap layar hutang masing-masing di ruangan komen.
Kebanyakan mereka berkongsi, kemudahan BNPL itu digunakan untuk membeli barangan pekakas rumah serta membayar insurans kenderaan.
Bagaimanapun, rata-rata penghutang dilihat mengeluh kerana ‘dihantui’ komitmen hutang yang seakan tidak pernah habis.
“Hasil tangan gatal juga ni hutang beli peti ais sampai bulan enam tahun depan baru habis bayar. Lepas ni kena beringat nak buat apa-apa, kena ingat macam mana nak bayar. Sesak nafas rasanya,” komen seorang wanita.
“Sayalah tu salah seorangnya. Bulan-bulan kena bayar lebih RM2,000. Jerat hutang yang susah nak keluar. Parah nak asingkan gaji untuk bayar hutang ni,” komen pengguna lain.
“Samalah saya, jahatnya skim ni dia naikkan had hutang sampai RM7,000. Sekarang saya sebulan kena bayar RM400, dekat platform lain pun saya ada hutang RM500. Seram RM1,000 sebulan, tapi insaf dah. Lagi dua bulan selesai,” komen seorang lelaki pula.
Dalam pada itu, ramai juga bersetuju hutang BNPL memudahkan buat mereka yang tidak mampu membayar ‘sedebuk’, namun perlu digunakan dengan berwaspada agar tidak memakan diri sendiri semula.
“Hutang macam ni kalau guna secara bijak ok je. Guna ikut kemampuan bulanan kita nak bayar. Bayar cantik tak pernah lewat, rekod cantik je. Jangan sampai tak mampu nak bayar tapi gatal nak buat juga,” komen Dira Aziz.
“Memang skim ni berguna kalau tak nak terasa sangat beli ‘cash’ sedebuk. Macam saya dulu, bulan-bulan bayar RM100. Tak adalah terasa sangat. Tapi nak guna biar ikut kemampuan nak bayar bulanan tu,” komen Amalina.
“Kalau benda memang sangat perlu tak mengapalah. Tapi seboleh-bolehnya usahalah untuk elak daripada berhutang. Kalau tiba-tiba meninggal macam mana, waris kena bayar ke? Kalau waris pun terlepas pandang kan naya,” komen Ummu pula. – KOSMO! ONLINE