SHAH ALAM – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana Pengarah dan Ketua Cawangan (KC) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri yang membiarkan kaunter hadapan tidak dibuka atau dibawah pengawasan sewajarnya.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, perkara itu amat ditekankan memandangkan fokus utama JPJ adalah menambah baik sistem penyampaian jabatan tersebut kepada orang awam.
“Fakus kita adalah kaunter. Perkara itu pun ditegaskan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar supaya jangka ada lima kaunter tetapi buka dua.
“Mana-mana Pengarah Negeri dan KC tidak menjalankan tugas dengan baik dan kaunter tidak dibuka, mereka akan diambil tindakan,” katanya ketika berucap pada majlis Amanat Ketua Pengarah di JPJ Selangor hari ini.
Menurut beliau, sebagai jabatan kerajaan yang sudah berusia 78 tahun sepatutnya telah anggota dan pegawainya telah matang dan mengetahui apa yang dikehendaki orang awam apabila berurusan dengan JPJ.
Justeru, Aedy Fadly menegaskan beliau bersama pengarah-pengarah di Ibu Pejabat akan melakukan lawatan mengejut melalui penyamaran bagi melihat sendiri apa dilakukan di semua JPJ negeri.
“Tentang oeprasi, saya tidak risau sebab ada team yang bagus di Ibu Pejabat dan harap negeri pun sama.
“Lepas ini, mungkin saya akan turun pakai cap (topi), berkaca mata dan seluar jeans lawat (JPJ setiap negeri). Saya mungkin hantar pengarah-pengarah di Ibu Pejabat sebab kalau saya turun (kerap) mungkin orang kenal,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau yang memegang pucuk pimpinan JPJ sejak 23 Julai lalu bagaimanapun memaklumkan setakat ini berpuas hati dengan banyak tindakan dan inisiatif diperkenalkan telah dilaksanakan dengan segera oleh semua JPJ negeri.
“Tetapi ia masih jauh dan JPJ perlu membuat penambahbaikan seperti apa yang diamanatkan KSN. Itu perlu diambil tindakan cepat dan pantas dalam laksanakan reformasi perkhidmatan awam khususnya di JPJ,” katanya. – KOSMO!ONLINE