KUALA LUMPUR – Bintang veteran seni bela diri campuran (MMA) Bosnia-Herzegovina, Denis Puric manyarankan dua lawan lebih ‘sesuai’ buat jaguh muay thai muda negara, Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Jojo.
Puric, 39, yang pernah berentap dengan legenda ONE Championship dari Thailand, Rodtang Jitmuangnon pada Jun lalu, merasakan Jojo sepatutnya mencabar peninju-peninju lain seperti Ramadan Ondash ataupun Freddie Haggerty dengan tahap perkembangannya ketika ini.
“Dengar sini, budak (Jojo). Anda cabar saya tapi sebenarnya anda belum bersedia untuk hadapi semua ini. Anda belum cukup bersedia. Jujurnya, saya bukan nak berlawan dengan orang baru atau belasah budak remaja. Kali ini saya akan lepaskan anda, okey?
“Anda sepatutnya cabar orang macam Freddie Haggerty atau Ramadan Ondash, mereka lebih sesuai. Awak belum cukup bersedia untuk tahap ni, pukulan yang saya bakal bagi nanti awak belum boleh hadapi,” kata ‘The Bosnian Menace’ itu menerusi satu hantaran video di laman Instagram miliknya.
Jojo yang akan genap usia 18 tahun pada 14 November nanti, membuat kejutan apabila secara terbuka mencabar Puric selepas mencipta kejayaan menumbangkan lawan dari Mexico, Josue Cruz menerusi pukulan ‘KO’ dalam pertarungan ONE Championship pada Sabtu lalu.
Bintang muda itu berpendapat Puric adalah seorang lawan yang hebat dan yakin petarung veteran tersebut tidak akan ‘lari’ daripada cabaran di dalam gelanggang.
Bagaimanapun, Puric mendakwa Jojo masih memerlukan lebih banyak pengalaman kerana bimbang karier bintang muda negara itu mampu musnah jika berdepan tumbukannya dalam gelanggang nanti.
“Saya tidak merendahkan sesiapa tetapi dia belum bersedia untuk tahap ini. Lebih baik dapatkan banyak pengalaman dahulu, saya sukakan budak ini dan mahu lihat dia berjaya. Dengan saya, kariernya boleh musnah,” katanya. – KOSMO! ONLINE