fbpx

Agrobank, FGVIF meterai perjanjian bantu pengusaha nanas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Simbolik pemeteraian perjanjian yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Tuan Syed Hairul Anuar Syed Fadzil (kiri) dan Ketua Pertanian Bersepadu FGV, Abdul Razak Aya.

SERDANG – Agrobank dan FGV Holdings Berhad (FGV) melalui anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Holdings Sdn Bhd (FGVIF) memeterai perjanjian strategik Program Pembiayaan Pertanian Ladang Kontrak bagi membantu pengusaha nanas.

Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, skim pembiayaan yang merangkumi perbelanjaan operasi ladang itu dikhususkan kepada para petani kontrak di bawah FGVIF dengan jumlah peruntukan pembiayaan sebanyak RM15 juta yang akan dilaksanakan di FGV Chuping Agro Valley di Chuping, Perlis.

“Hasil kerjasama strategik antara Agrobank dan FGVIF membuka peluang kepada bakal petani atau yang sedia ada untuk mendapat bantuan kewangan bagi menjayakan pertanian tanaman nanas. Agrobank menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi setiap peserta yang layak.

“Had pembiayaan maksimum ini mewujudkan prospek yang luas kepada para usahawan agro untuk menggiatkan operasi tanaman mereka, melabur dalam teknologi moden, dan meningkatkan produktiviti,” katanya pada Majlis Pengumuman Kerjasama Strategik Agrobank dan FGVIF di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini.

Simbolik pemeteraian perjanjian itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Tuan Syed Hairul Anuar Syed Fadzil dan Ketua Pertanian Bersepadu FGV, Abdul Razak Aya.

Selain itu, Ahmad Badli berkata, program itu dilaksanakan susulan industri nanas di Malaysia memiliki potensi yang besar dan perlu diterokai.

“Permintaan tinggi dari pasaran antarabangsa sepatutnya menjadi penggerak utama untuk negara kita meningkatkan pengeluaran dan eksport nanas.

“Justeru itu, melalui pembiayaan dan sokongan Agrobank, kami berhasrat untuk menarik lebih ramai penglibatan usahawan tani ke dalam sektor ini, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi
negara melalui peningkatan eksport nanas,” ujarnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid berkata, FGV komited dalam memperkasakan petani tempatan melalui inisiatif-inisiatif inovatif seperti program tersebut.

“FGV merupakan salah satu pengeluar makanan utama di Malaysia, yang berhasrat untukmemainkan peranan penting dalam agenda keterjaminan makanan negara dengan menghasilkan produk makanan berkualiti tinggi dan berkhasiat pada harga yang berpatutanuntuk semua rakyat Malaysia.

“Melalui program ini, kita bersama-sama membina masa depan pertanian yang lestari, bukan sahaja dengan mempertingkatkan keupayaan petani tempatan, malah turut menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara,” katanya.

Katanya, FGV sentiasa komited bagi memenuhi permintaan yang meningkat bagi produk berkualiti, berkhasiat dan mampu milik di pasaran melalui pelbagai jenama barangan penggunanya seperti Ladang ’57, Bright Cow, Saji, Seri Pelangi, dan Gula Prai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI