KOTA BHARU – Hancur hati ibu bapa kepada bayi lelaki berusia 30 hari yang meninggal dunia di sebuah pusat jagaan berpantang di sini apabila anak sulung mereka ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa kelmarin.
Bapanya, Choo Kamin, 30, berkata, dia tidak menyangka kejadian menyayat hati itu menimpa bayinya yang sudah diberi nama Choo Jyn Hern selepas tiga tahun menunggu kelahiran cahaya mata sulung.
Kamin dan isterinya, Yap Pei Yin, 29, mengesyaki bayi mereka bukan tersedak susu seperti yang didakwa, sebaliknya diabaikan atau didera.
“Difahamkan, Jyn Hern tidak menyusu dan tidur bersama jururawat atas sofa dalam bilik di pusat jagaan itu pada malam kejadian.
“Ketika itu, saya dan isteri sedang tidur di bilik sebelah sebelum dimaklumkan anak kami tidak sedarkan diri pada waktu pagi,” katanya ketika ditemui pemberita ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr. Hafidzah Mustakim melawatnya di Taman Desa Kujid, Panji di sini hari ini.
Kamin memberitahu, dia kemudian membawa bayinya ke sebuah hospital swasta di sini dan terkilan selepas dimaklumkan bahawa bayi itu meninggal kerana tersedak susu.
Lelaki itu dan keluarganya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pusat jagaan tersebut secepat mungkin.
“Lebih menyedihkan, Jyn Hern meninggal dunia pada hari lahir isteri saya yang ke-29 pada 9 September lalu. Kami bawa anak kami ke pusat jagaan pada usia tiga hari. Jyn Hern sepatutnya pulang ke rumah semalam sehari sebelum kejadian,” katanya.
Sementara itu, Pei Yin berkata, emosinya masih tidak stabil selain tidak boleh menerima kematian anaknya sekelip mata, malah tidak sempat memberi susu badan kepada bayi itu.
“Saya mohon kepada pihak polis supaya dapat menjalankan siasatan dengan telus dan menghukum jururawat terbabit,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang bayi lelaki yang baru berusia 30 hari meninggal dunia selepas diberi susu oleh seorang jururawat yang ditugaskan menjaga bayi berkenaan di sebuah pusat jagaan berpantang di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, suspek yang berusia 22 tahun dan masih bujang telah ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam. – KOSMO! ONLINE