PETALING JAYA – Rakyat Malaysia yang terkandas di Sapa, Vietnam masih mencari jalan keluar untuk ke Hanoi ekoran banjir besar dan tanah runtuh disebabkan Taufan Yagi yang bermula Jumaat lalu.
Berkongsi kejadian tersebut, Nor Hela Hassan, 30, berkata dia dan tiga orang lagi rakannya tiba di Hanoi, Vietnam pada Jumaat lalu bagi tujuan melancong.
Katanya, ketika itu taufan sudah pun bermula membuatkan mereka bergerak ke Sapa pada Sabtu bagi mengelakkan terkena ribut dan angin kuat di Hanoi.
Bagaimanapun setibanya Nor Hela dan rakan-rakan di Sapa, tanah runtuh dan banjir besar sudah mula berlaku membuatkan jalan darat untuk pulang ke Hanoi terputus.
“Sepatutnya tiket penerbangan kami pulang ke Malaysia adalah semalam (10 September) tetapi kami terkandas sebab jalan darat ke Hanoi tertutup, jambatan runtuh.
“Bas semua tidak boleh lalu, yang boleh lalu hanya motosikal sahaja. Hari ini (11 September) kami cuba keluar ke Lao Cai menaiki teksi, tetapi teksi tersebut juga rosak di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambah Nor Hela, buat masa ini dia dan rakan-rakannya cuba untuk keluar dari Sapa, menuju ke Lao Cai sebelum merancang membeli tiket penerbangan pulang ke Malaysia setelah tibanya di Hanoi.
“Tapi keadaan cuaca di sini masih buruk, hujan berterusan membuatkan semakin banyak kawasan mengalami tanah runtuh.
“Kami memang pergi sendiri (solo traveller) bukan di bawah agensi pelancongan mana-mana. Buat masa sekarang keadaan kami selamat cuma ada yang demam sebab hari-hari hujan,” katanya.
Dalam pada itu, Nor Hela juga berkata dia sudah menghubungi pihak kedutaan Malaysia di Vietnam sejak awal lagi tiba di negara tersebut bagi memaklumkan keadaan semasa mereka.
Katanya, pihak kedutaan menasihati agar dirinya dan kawan-kawan untuk peka dengan pengumuman yang dibuat oleh Wilayah Sapa serta berada di tempat yang selamat sepanjang bencana tersebut berlaku.
Terdahulu, media melaporkan petugas-petugas kecemasan bergelut untuk memindahkan beribu-ribu penduduk daripada banjir besar hari ini selepas Taufan Yagi menghentam utara Vietnam, menyebabkan 63 orang terbunuh dan 40 yang lain hilang.
Yagi merupakan taufan paling kuat pernah melanda utara Vietnam dalam tempoh 30 tahun dan telah tiba di daratan Sabtu lepas dengan membawa angin selaju 149 kilometer sejam.
Utara Vietnam kini bergelut dengan banjir besar dengan sebilangan komuniti ditenggelami air.
Banyak rumah setingkat di bandar Thai Nguyen dan Yen Bai hampir tenggelam sepenuhnya pagi tadi dengan penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung untuk menunggu bantuan.
Di Hanoi pula, penduduk di sepanjang Sungai Merah digenangi air dengan mereka terpaksa berpindah. – KOSMO! ONLINE