TAPAH – Seorang tukang cuci di sebuah kilang besi di Pasir Gudang, Johor dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan fitnah terhadap anggota polis yang terkorban dalam serangan Balai Polis Ulu Tiram, dua minggu lalu.
Tertuduh, Wan Abd. Qayyum Wan Mohd. Radzuan, 25, juga berdepan hukuman penjara tujuh hari lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman tersebut diputuskan setelah lelaki itu mengaku bersalah di hadapan Majistret Anis Zainab Pawan Teh, dan berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 5 September lalu.
Mengikut pertuduhan, Wan Abd. Qayyum didakwa telah melakukan fitnah terhadap Allahyarham Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dengan menyiarkan kepada Nur Azza Assaqiren Azhar, 29, melalui komen di media sosial Facebook ‘Wan Qayyum’.
Komen itu menyatakan ‘Tu yang jadi kes Balai Ulu Tiram tu yang dua anggota mati sebab masa hidup pau duit tepi’ dengan maksud merosakkan nama baik Allahyarham sekiranya masih hidup dan menyakiti perasaan Azhar Khaiden, 55, yang juga bapa si mati.
Komen tersebut telah dibaca pengadu ketika berada di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Klah, Sungkai dalam daerah Batang Padang pada pukul 2 petang, 28 Ogos 2024.
Pertuduhan ke atas lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali. – KOSMO! ONLINE