KUALA LUMPUR – Penyanyi Datuk Nora Ariffin mengakui perceraian yang berlaku antaranya dengan bekas suami, Dr. Rushdi Ramli adalah dilakukan secara paksaan.
Nora atau nama penuh Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, berkata, perceraian tersebut berlaku di hadapan matanya secara lisan oleh bekas suaminya.
“Perceraian itu berlaku di hadapan saya dan memang secara paksaan. Pada ketika itu kami baru selesai solat subuh dan bekas suami mendapat panggilan telefon supaya melepaskan saya.
“Saya memang terkejut, lidah kelu dan mempersoalkan apa salah sendiri? Tetapi saya tahu apa kandungan perbualan panggilan telefon itu.
“Biarlah saya dan bekas suami sahaja yang tahu,” katanya kepada Kosmo! Online selepas sidang akhbar konsert Hanya Satu Datuk Nora Ariffin di sini, hari ini.
Menjawab spekulasi ramai, pelantun lagi Hanyalah Satu itu menolak dakwaan netizen bekas suaminya diugut menggunakan senjata untuk menceraikannya.
“Namun, tiada unsur lain menggunakan senjata seperti pistol ketika bekas suami diminta untuk melafazkan talak.
“Saya tahu situasi sebenar, jadi memang bukan salah dia,” katanya lagi.
Katanya, dia juga mengakui tindakannya memuat naik video lafaz cerai pada 12 Ogos lalu adalah kesilapannya kerana terlalu mengikut emosi pada ketika itu.
“Biarlah, perkara itu sudah berlalu. Saya pun sudah minta maaf dengan Dr. Rushdi sebab muat naik konten tersebut, memang akui salah sendiri sebab terlalu beremosi ketika itu.
“Dia pun sudah maafkan dan faham situasi serta emosi saya pada waktu tersebut. Saya juga manusia biasa dan tak lari daripada melakukan kesilapan.
“Lagipun situasi waktu itu sangat mengejutkan dan menyebabkan trauma kepada diri saya. Semua itu berlaku di luar kawalan saya.
“Sebenarnya tujuan saya kongsikan video itu hanyalah untuk menjelaskan status terkini saya. Cuma saya tak boleh nak kongsi lebih lanjut mengenai apa yang berlaku,” ujarnya lagi.
Pada 12 Ogos lalu, Rushdi menceraikan Nora dengan talak satu menerusi satu video berdurasi 52 saat yang dimuat naik Nora dalam Instagram.
Selepas video itu tular, Nora menerima kecaman ramai dan mempertahankan bekas suaminya serta memaklumkan perkara itu bukanlah atas kehendak suaminya.
Pasangan itu bergelar suami isteri pada 2021, malah Rushdi adalah sahabat baik arwah suami Nora iaitu Allahyarham Johan Nawawi.
Johan yang juga komposer tersohor meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun. – KOSMO! ONLINE