fbpx

Tiada suri rumah Orang Asli di Kelantan carum Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nora (kiri) bersama Pengurus Pejabat Perkeso Kuala Krai, Mohd. Azran Che Nuri (dua dari kiri) menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat dan Penakat Bulanan kepada Mohd. Rofi di Perumahan Banjir Simpang 3 Pulai, Gua Musang, semalam. Foto AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Tahap kesedaran untuk mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dalam kalangan suri rumah Orang Asli di negeri ini masih rendah apabila tiada yang mendaftar Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara sukarela setakat ini.

Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, masih ramai suri rumah tidak membiayai caruman SKSSR yang hanya berjumlah RM120 setahun atau RM10 sebulan.

Katanya, pada tahun ini hanya 683 orang suri rumah di Kelantan yang mencarum SKSSR secara sukarela setakat bulan Ogos lalu.

“Saya melihat suri rumah Orang Asli sangat terdedah dengan risiko, tetapi tiada dalam kalangan mereka berdaftar di bawah SKSSR secara sukarela.

“Saya sangat berharap supaya skim itu dapat disebarkan kepada kaum Orang Asli supaya mereka sedar bahawa kepentingan caruman bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan jika ditimpa musibah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Ziarah Skuad Perkeso Prihatin Kuala Krai bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim di Rumah Orang Berinsurans di Perumahan Banjir Simpang 3 Pulai, di sini semalam.

Pada program itu, Nora menyerahkan bayaran Faedah Pengurusan Mayat dan Penakat Bulanan kepada Mohd. Rofi Yusoff yang kehilangan isterinya, Rohani Man, 48.

Arwah merupakan seorang suri rumah sepenuh masa telah meninggal dunia pada 10 Ogos lalu akibat serangan jantung di Hospital Gua Musang.

Mengulas lanjut, Nora memberitahu, di negeri ini masih ada 41 peratus atau 82,000 suri rumah yang sepatutnya mendaftar caruman termasuklah di bawah tajaan kerajaan.

“Perkeso telah buat bayaran lebih 80 kes yang melibatkan suri rumah sepanjang tahun ini. Bayaran itu termasuk akibat kematian, kecederaan dan keuzuran yang berlaku kepada suri rumah,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Rofi berkata, dia terkejut apabila menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM3,000 dan pencen penakat SKSSR sebanyak RM180 sebulan selepas isterinya meninggal dunia.

Katanya, dia tidak mengetahui arwah isterinya mencarum di bawah Perkeso.

“Kami sekeluarga sangat terkejut dan menganggap ini adalah rezeki anak. Duit itu boleh kami guna untuk membayar hutang selain perbelanjaan makan minum keluarga,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI