KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak berdepan banyak masalah untuk melangkah ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong selepas menang ke atas beregu Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Lin Jhih Yun.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Hong Kong Coliseum, Kowloon sebentar tadi, juara Terbuka Korea minggu lalu itu memerlukan masa 27 minit untuk mencatat kemenangan straight set 21-8, 21-18.
Turun sebagai pilihan keempat kejohanan, Tang Jie-Ee Wei menampilkan aksi cukup meyakinkan di set pertama, lebih-lebih lagi bertemu lawan yang mara ke pusingan pertama dari pusingan kelayakan.
Sebaik menang mudah 21-8 di set pertama, beregu No.9 dunia itu bagaimanapun sedikit bergelut pada set kedua apabila diberi tentangan sengit oleh Hsiang Chieh-Jhih Yun tetapi mampu bertahan dan menang 21-18.
Menanti Tang Jie-Ee Wei di pusingan kedua adalah pasangan tuan rumah, Lee Chun Hei-Ng Tsz Yau yang meneruskan kemaraan selepas menyingkirkan satu lagi beregu negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien 21-19, 19-21, 21-
Mengiringi Tang Jie-Ee Wei ke pusingan kedua esok adalah perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao yang bangkit mencatat kemenangan 4-21, 21-11, 21-17 ke atas wakil tuan rumah, Chan Yin Chak dan akan bertemu seorang lagi pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu. – KOSMO! ONLINE