KEHILANGAN insan tersayang bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilalui apatah lagi melibatkan keluarga terdekat. Itu juga yang dirasai penyanyi baharu yang mahu dikenali dengan nama Amir Hariz tatkala berdepan dengan pemergian ibu tercinta tahun lalu.
Separuh jiwanya bagai direntap apabila orang paling disayangi pergi buat selama-lamanya sedangkan dia sedang bergelut untuk mengejar impian sebagai penyanyi dan pencipta muzik.
“Bukan mudah sebenarnya untuk melalui perkara berkenaan. Sebetulnya saya berharap agar ibu sempat melihat kerjaya seni bergerak di landasan yang betul. Tapi saya reda dengan segala ketentuan apabila perancangan kita tak kesampaian,” kata Amir bercerita.
Mahu memberikan tanda mata buat ibunya, Amir akhirnya mengeluarkan single berjudul Teratas yang sudah dilancarkan sejak sebulan yang lalu.
Jelasnya, lagu ini sebenarnya sudah ada dalam simpannya ketika ibunya masih ada namun ia hanya disiapkan sebaik sahaja wanita paling dicintainya itu pergi buat selama-lamanya.
Teratas pada dasarnya diilhamkan daripada impiannya untuk mengejar kejayaan dalam bidang nyanyian selain mahu kecintaannya itu difahami si ibu.
“Ibu sememangnya di tempat tertinggi dalam hidup semua orang. Sejauh mana pun kita pergi, setinggi mana pun kita daki keduduk ibu tetap teratas. Itu yang ditulis dalam lirik Teratas.
“Awalnya lagu ini dalam versi akustik sahaja dan sudah dimasukkan dalam YouTube. Tetapi sesudah pemergian ibu barulah saya menggubah semula Teratas dan melancarkan secara rasmi.
“Untuk versi baharu saya masukkan pelbagai elemen tambahan seperti piano dan beberapa sentuhan lain. Memang rakaman kali ini sedikit berbeza memandangkan sudah lama tidak masuk ke studio rakaman,” katanya lagi.
Teratas bukanlah lagu pertama untuk Amir memandangkan dia sebenarnya sudah merakamkan tiga buah lagu termasuk Akur, Peluang Kedua dan Penipu sebelum ini.
Ketiga-tiga lagu berkenaan mendapat sambutan hangat daripada pendengar dan mencatatkan jutaan pendengar dalam semua platform digital termasuk YouTube.
Menyusuri perjalanan penyanyi yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor ini, Amir sebenarnya memulakan kerjaya dengan menyanyikan hasil karya sendiri dalam YouTube. Lagu-lagu hasil ciptaannya tular sehingga dia menjadi ikutan sebahagian besar peminat.
“Bila menghasilkan karya sendiri pasti ada cabaran tersendiri. Ada karya akan disukai oleh pendengar dan ada pula sebaliknya. Peluang Kedua misalnya memang mendapat sambutan luar biasa daripada pendengar. Tapi untuk Penipu pula sebaliknya.
“Saya tidak putus asa dengan apa yang berlaku memandangkan itu merupakan naik turun dalam berkarya. Apa yang lebih utama, saya perlu menghasilkan karya yang baik untuk diterima pendengar,” jelasnya lagi.
Perjalanan seni Amir sebetulnya memang bermula sebagai seorang komposer. Sudah menghasilkan berbelas-belas lagu ciptaan, antara lagu paling hits adalah Perasaan nyanyian Fieya Julia.
Dia sendiri melibatkan diri sebagai komposer eksekutif bersama syarikat Aries Music selain berbumbungkan Faithful Music yang menaungi ramai komposer hebat tanah air.
“Saya melihat kebanyakan pengkarya dan penyanyi sedang memerah idea baharu untuk melakukan pembaharuan. Kebanyakan mahu jadi yang pertama dan diikuti oleh pemain industri yang lain.
“Bercakap tentang bakat muda kebanyakan mereka memang berbakat. Cuma saya rasa mereka lebih cenderung untuk menjadi penyanyi berbanding komposer kerana taraf kehidupan yang lebih glamor dan menyeronokkan berbanding berada di belakang tabir,” jelasnya.
Teratas yang diedarkan oleh Loonaq Records sudah dilancarkan secara rasmi pada 25 Julai lalu disemua pelantar digital. Video muzik (MV) lagu boleh ditonton melalui YouTube Loonaq Records. – KOSMO ONLINE