BARRANQUILLA, Colombia – James Rodriguez muncul wira Colombia apabila menyempurnakan sepakan penalti untuk membalas dendam kekalahan pada final Copa America dengan kemenangan 2-1 ke atas Argentina di Estadio Metropolitano hari ini.
Gol pada minit ke-60 daripada perancang tengah itu memastikan kemenangan buat Colombia untuk melonjak ke tangga kedua dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 bagi zon Amerika Selatan.
Los Cafeteros yang tewas 0-1 kepada Argentina sewaktu final Copa America di Miami, Amerika Syarikat pada Julai lalu, mengambil kesempatan beraksi menentang lawan tanpa kehadiran Lionel Messi kali ini disebabkan masalah kecederaan.
Diperkuatkan dengan sokongan padu penyokong-penyokong sendiri, Colombia membuka tirai jaringan menerusi tandukan pemain pertahanan Wolverhampton Wanderers, Yerson Mosquera pada minit ke-25.
Bagaimanapun, Argentina yang berstatus juara dunia, bangkit mengikat kedudukan melalui Nicolas Gonzalez menewaskan penjaga gol Colombia, Camilo Vargas pada minit ke-48.
Kedudukan itu tidak bertahan lama apabila pengadil Chile, Piero Maza menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) menghadiahkan sepakan penalti kepada Colombia selepas Daniel Munoz dikasari oleh bek tengah Argentina, Nicolas Otamendi.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Rodriguez untuk menewaskan penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez yang cukup dikenali dengan kehebatannya dalam situasi sepakan penalti.
Colombia sebenarnya berpeluang untuk menang dengan keputusan 3-1 tetapi percubaan penyerang Aston Villa, Jhon Duran yang berjaya ditangkap kemas di penghujung separuh masa kedua. – AGENSI