KOTA BHARU – Keluarga kepada bayi lelaki berusia 30 hari yang meninggal dunia di sebuah pusat jagaan berpantang, di sini kelmarin masih belum bersedia menerima kunjungan tetamu termasuk pihak wartawan, buat masa ini.
Datuk kepada bayi itu dikenali sebagai Mr. Choo, 60, berkata, anaknya yang merupakan ibu kepada mangsa masih bersedih dengan kejadian itu dan meminta jasa baik orang ramai agar tidak mengganggunya.
Menurutnya, dia dan seluruh ahli keluarga buat masa ini juga tidak bersedia menjawab sebarang pertanyaan pihak media.
“Saya harap semua bersabar. Apabila bersedia (untuk ditemu ramah) kami akan terima pelawat. Buat masa ini, biar anak dan menantu saya bertenang. Mereka juga tidak mahu dikunjungi pelawat meskipun ada beberapa jiran datang ziarah,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Mr. Choo memberitahu, setakat ini, ibu dan bapa cucunya itu hanya berjumpa dengan pegawai polis yang datang untuk mengambil keterangan.
Kosmo! Online semalam melaporkan, seorang bayi lelaki yang baru berusia 30 hari meninggal dunia selepas diberi susu oleh seorang jururawat yang ditugaskan menjaga bayi berkenaan di sebuah pusat jagaan berpantang, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, suspek yang berusia 22 tahun dan masih bujang telah ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam. – KOSMO! ONLINE